secebis manuskrip

.,BAB SATU (prolog)

Suatu petang yang damai, terlihat seorang wanita yang berusia dalam lingkungan akhir dua puluhan sedang duduk termenung. Gaya menungannya kelihatan begitu jauh. Kelopak matanya menggambarkan hatinya digayuti sayu. Sesekali dia mengesat tubir matanya dengan jemarinya. Dahulu jemarinya yang masih halus dan runcing itu sering membelai tubuh-tubuh mereka yang kehausan. Namun kini langsung tiada saiapa mahukan dirinya lagi. Dahulu dia dipuja bagaikan seorang puteri, kini tiada lagi…mereka semua tidak mahukannya lagi, tambahan pula mereka telah punya keluarga sendiri. Begitu jauh perbezaan antara kehidupan dahulu dan kini.

Dalam mengelamun, tangannya disentuh lembut oleh jemari yang kecil. Satu perasaan aneh meresap ke dalam jiwanya. Dia menundukkan wajah memandang anak kecil yang berumur lingkungan dua belas bulan. Anak kecil yang baru sedang belajar berjalan itu memandang jauh ke dalam anak matanya. Seketika kemudian anak kecil tersebut melemparkan senyuman manis.

‘comel!’ desis hatinya. Dia mengangkat wajahnya. Persekitaran diperhatikan dengan teliti. Namun tiada sesiapa di situ.

‘mustahil budak ni sorang-sorang,’ dia menggumam lagi. Kepalanya dialihkan kembali memandang si kecil berkenaan. Kali ini dia terkejut apabila kanak-kanak tadi sudah hilang. Dia menjengukkan kepalanya ke bawah meja, kalau mungkin kanak-kanak perempuan tersebut duduk di situ. Namun langsung tiada tanda-tanda. Bahkan pepasir yang halus di sekeliling wakaf tersebut jugak tidak menunjukkan kehadiran tapak kaki milik kanak-kanak tersebut.

“Astaghfirullahalazim, siapakah yang datang kepadaku tadi, ya Allah…” wanita itu meraup mukanya dengan kedua belah tapak tangan. Sudahnya dia berlalu begitu sahaja menuju ke asrama tempat tinggalnya kini.

***


1 comment:

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com