BANDUAN AKHIR ( Detik Akhir Seorang Pejuang 2)

~~Pelaksanaan hukuman mati di awal subuh tersebut telah menyaksikan korban pertama Aidiladha. AS yang tidak sabar menanti detik berakhirnya nyawa Saddam Hussein telah mencetuskan kemarahan umat Islam di seluruh dunia. Hukuman dijalankan di salah satu lokasi yang menjadi pusat penyeksaan semasa Saddam memerintah Iraq.

~~Undang-undang Iraq yang menetapkan bahawa pesalah yang berusia 70 tahun ke atas tidak boleh dikenakan hukuman gantung. Saddam yang akan berusia 70 tahun pada 28 April 2007 akan juga tertakluk pada undang-undang tersebut. Ini dilihat sebagai salah satu faktor mengapa Amerika ingin menyegerakan hukuman tersebut.

~~Walaupun penduduk menunjukkan reaksi seolah-olah berkecuali, namun terdapat juga protes dan tunjuk perasaan di kubu kuat Saddan di Tirkit atas hukuman yang benar-benar menghina umat islam. Lain pula keadaan Saddam City, iaitu bandar yang menjadi kubu kuat Syiah. Mereka merayakan kematian Saddam dengan penuh kegembiraan, sambil bersorak, menari dan melepaskan tembakan. Mereka berkeliaran di jalan-jalan raya. Perayaan sebenar buat mereka kerana Saddam seorang diktator yang pernah menindas dan menganiaya mereka pada suatu ketika dahulu telah dihapuskan.

~~Imam Masjid Najaf, iaitu kota suci Syiah menyifatkan kematian Saddam sebagai kurniaan Allah dan kemenangan buat pengikut Syiah. Pada 27 Disember 2006, Menteri Keadilan Iraq, Hasham al-Shilali menyatakan bahawa hukuman mati itu akan dikemukakan kepada Perdana Menteri Iraq, Nauri al-Maliki untuk mendapat kelulusan. Kelulusan boleh diperoleh dengan segera kerana Perdana Menteri juga faham falsafah di sebalik hukuman yang perlu dijatuhkan itu.

~~Kematian Saddam menandakan pengakhiran dramatik bagi pemimpin yang memerintah Iraq selama tiga dekad sebelum dijajah AS yang menggulingnya. Saddam didapati bersalah atas tuduhan membunuh 148 puak Syiah di Perkampungan Dujail pada tahun 1982.

~~Menurut Penasihat Politik Perdana Menteri Nouri al-Maliki, Samial Askari, Saddam memberontak apabila cuba dibawa keluar dari bilik kurungannya di sebuah penjara tentera AS. Bagaimanapun, selepas tiba pada saat terakhir sebelum pelaksanaan hukuman gantung, Saddam tidak banyak bercakap dan kembali tenang.

~~Sami berkata, bekas presiden itu dikenakan pakaian serba hitam berserta jaket, seluar panjang, topi dan kasut, bukan pakaian banduan biasa.

~~Sejurus sebelum hukuman gantung dilaksanakan, topi Saddam ditanggalkan dan ditanya sama ada mempunyai permintaan.


~~"Saya tidak mahu apa-apa," Sami yang hadir ketika pelaksanaan hukuman gantung itu memetik Saddam sebagai berkata.

~~"Bekas pemimpin Iraq itu kemudiannya dibawa ke tali gantung dan enggan disarungkan penutup kepala."

~~"Sebelum tali gantung dipakaikan dilehernya, Saddam melaungkan, Allahu Akbar," Katanya.


~~Penasihat Keselamatan Negara, Mouwafak al-Rubaie, pula berkata Saddam tidak meminta apa-apa kecuali memegang al-quran dan meminta kitab suci itu diserahkan kepada seorang lelaki yang dipanggilnya Bander.

~~Bagaimanapun Maouwafak berkata, dia tidak tahu siapa sebenarnya Bander. Saddam digantung di bekas ibu pejabat perisikan tentera di Kazimiyah, pinggir Baghdad. Video dan gambar perlaksanaan hukuman mati itu dirakam dan disiarkan kepada umum bagi menjadi bukti kepada masyarakat Iraq dan dunia bahawa Saddam telah mati.



~~Sebelum ini, stesen TV Iraq melaporkan, adik tiri Saddam, Barzan Ibrahim al-Tikriti dan bekas Ketua Hakim Mahkamah Revolusi, Awad Hamed al-Bandar, turut digantung. Walau bagaimanapun, tiga orang pegawai kemudian berkata, hanya Saddam dihukum mati.


(sumber dipetik daripada Banduan Akhir,
oleh Mohammad Qayyum A. Badaruddin)

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com