CERITA SEORANG P.RAMLEE (3)


CERITA PENDEK MENGENAI P.RAMLEE

~~Pengarah B. S. Rajhans yang mewakili Malay Film Productions (MFP) menawarkan pekerjaan di MFP kepada P. Ramlee. P. Ramlee menerima tawaran tersebut kerana mengangapnya sebagai peluang keemasan yang mungkin hanya datang sekali dalam hidup beliau. P. Ramlee bersama-sama seorang teman beliau, Sukardi meninggalkan Pulau Pinang menuju ke Singapura dengan kereta api pada 28 Ogos 1948, iaitu pada Hari Raya Aidilfitri. P. Ramlee terus bekerja di MFP sementara teman beliau, Sukardi pulang ke Pulau Pinang setelah seminggu bekerja di studio filem tersebut.


~~P. Ramlee tidak pernah menolak tugas yang diberikan walaupun disuruh membuat pelbagai kerja, umpamanya menolak kamera, menjadi clipper boy menjadi pelakon tambahan dan penyanyi P. Ramlee sentiasa senang dan riang dengan segala tugas yang berkaitan dengan filem dan muzik. Pertama kali wajah P. Ramlee muncul di layar perak adalah filem Chinta pada tahun 1948. P. Ramlee kemudiannya tampil dalam beberapa buah filem lagi sebagai pelakon pembantu, yang menyerlahkan nama beliau disebabkan oleh kekuatan vokal dalam nyanyian beliau.

~~Pengarah L. Krishnan yangn baharu bertugas dengan MFP menaikkan kedudukan P. Ramlee hero dalam filem, Bakti pada tahun 1950. Ternyata percubaan tersebut berjaya. P. Ramlee diterima baik oleh peminat filem Melayu ketika itu. Mereka memberikan sokongan kepada hero baharu itu yang boleh menyanyidengan suara yang merdu. P. Ramlee mendapat sokongan yang kuat daripada para peminat beliau yang semakin ramai. Setiap filem lakonan P. Ramlee mencatat rekod pecah panggung yang mengaut keuntungan besar kepada syarikat pengeluar filem yang memayungi beliau.

~~Pengarah filem dari India di MFP berebut-rebut mengambil P. Ramlee berlakon. Malah, ada pengarah filem seperti B. N. Rao yang sanggup menagguhkan penggambaran filem baharu beliau semata-mata menunggu P. Ramlee selesai berlakon dalam filem arahan pengarah lain, S. Ramanathan. Hal ini demikian kerana lakonan P. Ramlee dijamin mendapat sambutan hangat daripada orang ramai. Pada kemuncak populariti beliau sebagai pelakon, penyanyi dan pencipta lagu, P. Ramlee dilantik sebagai pengarah filem.

~~P. Ramlee merupakan anak Melayu kedua begelar pengarah selepas Haji Mahadi. Haji Mahadi gagal mengarah filem, Permata di Perlimbahan pada tahun 1952. Pada tahun 1955, P. Ramlee mengarah filem beliau yang pertama, Penarek Becha. Beliau turut berlakon dalam filem tersebut bersama-sama Saadiah, Salleh Kamil, Udo Omar, Saamah, dan beberapa orang pelakon lain. Penarek Becha bukan sahaja berjaya dari segi mutunya, malah mengaut keuntungan besar dengan pencapaian pecah panggung.

~~P. Ramlee memperlihatkan kehebatan beliau yang sukar ditandingi oleh pengarah lain, termasuklah pengarah dari India yang pernah memberikan tunjuk ajar kepada beliau. Kehebatan P. Ramlee dalam bidang pengarahan terselah melalui filem kedua beliau, Semerah Padi. Malah, ada pihak yang berpendapat bahawa Semerah Padi merupakan mahakarya P. Ramlee. Setelah mengarah filem yang bercorak drama barat, P. Ramlee membuat kejutan dengan filem yang bercorak komedi. Garapan filem komedi beliau seperti siri Bujan Lapok, Musang Berjanggut, Nujum Pak Belalang, Labu Labi, dan lain bukan sahaja lucu, malah pengisian ceritanya sangat menarik kerana sarat dengan nilai-nilai kemasyarakatan, sindiran, dan kritikan sosial.

~~Semasa bertugas di MFP, P. Ramlee banyak menempa kejayaan peribadi sama ada melalui bidang lakonan ataupun bidang pengarahan filem. P. Ramlee memenangi banyak anugerah di Festival Filem Asia. Misalnya, anugerah untuk penciptaan Lagu Terbaik melalui filem, Hang Tuah pada tahun 1956, Pelakon Lelaki Terbaik melalui filem, Anakku Sazali pada tahun 1957, Fotografi Hitam Putih Terbaik melalui filem, Sumpah Orang Minyak pada tahun 1958, Filem Komedi Terbaik melalui filem, Pendekar Bujang Lapok pada tahun 1959, Filem Komedi Terbaik melalui filem Nujum Pak Belalang pada tahun 1963, dan Filem Komedi Terbaik melalui filem, Madu Tiga pada tahun 1964. Setelah mengarah filem, Tiga Abdul pada tahun 1964, P. Ramlee berhenti dari MFP untuk berkhidmat di Studio Merdeka, Hulu Kelang, Selangor. Filem pertama arahan P. Ramlee di studio itu ialah Si Tora Harimau Jadian yang diterbitkan pada tahun 1964.

~~Walau bagaimanapun, bintang P. Ramlee di Studio Merdeka tidak secemerlang di MFP. Sambutan terhadap filem-filem arahan merosot disebabkan oleh filem Melayu tidak mendapat tempat lagi di hati penonton tempatan yang bertukar selera kepada filem asing seperti filem Indonesia dan Hindustan.. P. Ramlee pernah terlibat dengan Jins Shamsudin dalam penubuhan PERFIMA tetapi akhirnya beliau menarik diri. Bersama-sama Datuk H. M. Shah, P. Ramlee menubuhkan pula Syarikat Rumpun Melayu. Malangnya, syarikat tersebut tidak sempat beroperasi kerana P. Ramlee lebih dahulu dijempu Ilahi.

~~Pada 29 Mei 1973, seluruh negara dikejutkan dengan berita kematian P. Ramlee. Daripada rakyat biasa hinggalah kepada pemimpin negara, semuanya terkejut dengan berita sedih tersebut. P. Ramlee meninggal dunia di Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Ampang, Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com