BAHASA MELAYU KUNO


~~ Bahasa Melayu merupakan salah satu daripada kira-kira 200 bahasa dalam cabang Nusantara keluarga bahasa Austronesia. Bilangan penutur asalnya sederhana, iaitu tinggal di sekitar Semenanjung Tanah Melayu, Kepulauan Riau, dan Sumatera. Tetapi sejarah telah membuktikan bahawa Bahasa Melayu telah menjadi lingua franca (bahasa perantaraan)daerah kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Bahasa ini digunakan sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di kepulauan Melayu dan oleh orang-orang yang mendatang, seperti pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat, dan pengembara-pengembara dari India dan China. Untuk melihat perkembangan Bahasa Melayu, mari kita tinjau keadaannya dari tarikh paling awal.

~~Seperi yg disebutkan di atas, sejarah awal kepulauan Melayu agak kabur. Tidak banyak diketahui tentang masyarakat dan bahasa-bahasa Austronesia yang datang menduduki daerah ini. Bahan-bahan sejarah menceritakan kemunculan beberapa buah kerajaan penting, terutama kerajaan-kerajaan Hindu sejak dari abad pertama tahun Masihi. Oleh sebab pengaruh dari India terutamanya agama Hindu, maka Bahasa Sanskrit, iaitu bahasa agama Hindu dan bahasa kelas atasan, digunakan dengan luasnya. Menurut Ismail Hussein (1966: 10-11, "melalui pengaruh bahasa Sanskrit, bahasa Melayu mengalami evolusinya yang pertama. Dari bahasa masyarakat yang agak rendah kebudayaan serta ilmu pengetahuannya, bahasa Melayu mengalami perubahan pertama ke arah bahasa sarjana, yang sanggup menyampaikan idea-idea baru yang tinggi-tinggi."
~~Pengaruh utama adalah dari segi perbendaharaan kata. Banyak perkataan baru diterima masuk ke dalam bahasa Melayu, iaitu perkataan-perkataan yang menyatakan aspek-aspek kebudayaan dari India dan hal-hal yang belum dialami oleh kaum bumiputera, yang meliputi bidang-bidang seperti: nama bahagian tubuh badan, barang-barang perdagangan, alat perkakas, nama binatang, tumbuh-tumbuhan dan senjata, perkataan-perkataan agama, ilmu pengetahuan, dan pelbagai lagi.

~~Pengaruh bahasa Sanskrit terhadap bahasa Melayu disebabkan sifat bahasa melayu yang mudah dilentur, dan dibentuk untuk disesuaikan dengan segala keadaan dan keperluan. Inilah satu-satunya faktor utama yang telah menjadikannya bahasa yang mudah dipelajari, dan diterima sebagai bahasa perhubungan oleh orang-orangdaripada pelbagai masyarakat bahasa.

~~Istilah "Melayu" timbul buat kali pertama dalam tulisan Cina antara tahun 644-645 Masihi. Tulisan itu menyebut orang Mo-lo-yeu yang mengirimkan utusan ke negeri China untuk mempersembahkan hasil-hasil bumi kepada raja Cina. Letaknya kerajaan Mo-lo-yeu ini tidak dapat dipastikan secara tepat: ada yang mengatakan di Semenanjung Tanah Melayu dan ada yang mengatakan di Jambi, Sumatera. Walau bagaimanapun, sejarah menyatakan bahawa terdapat satu kerajaan Melayu yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pemerintahan walaupun bukti yang konkrit tentang bentuk atau tulisannya belum dijumpai lagi.

~~Bukti konkrit yang pertama tentang bentuk dan sifat bahasa Melayu hanya terdapat sejak tahun 683, dengan terjumpanya beberapa batu bersurat yang mengandungi bahan-bahan bertulis yang mengikut sesetengah pendapat ditulis dalam bahasa, yang dibentuk dan sususnannya dapat dikatakan bahasa Melayu. Dan inilah bukti catatan yang tertua sekali tentang bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com