Dakwah bil hal pikat Gerald (bahagian 3)

CANTINYA ISLAM

Sehinggalah Jamal kemudiannya memperkenalkan keluarga Arab lain, beliau semakin mengagumi Islam apabila melihat cantiknya Islam yang dibawa oleh keluarga-keluarga tersebut.

Pada Disember 1992, Gerald mula memikirkan dengan lebih serius akan kedudukan diri atau lebih tepat agama yang menjadi anutannya. Ini membuatkan beliau mengkaji semula mengenai Islam terutama melalui al-Quran yang beliau baca dari dua kitab terjemahan.

"Saya tidak pernah memberitahu rakan-rakan Islam pencarian yang saya lakukan secara bersendirian itu. Akhirnya saya dan isteri mengakui bahawa tidak ada apa yang perlu diragui mengenai Islam. Malah saya juga menerima hakikat mengenai kerasulan Nabi Muhammad dan saya dapat menerima sepenuhnya tuhan yang wajib dipercayai dan disembah hanyalah Allah, tiada yang lain selain dari-NYA!!," katanya.

Begitupun, beliau masih meragui untuk membuat keputusan yang pasti kerana merasakan banyak lagi mengenai Islam perlu diketahui. "saya cukup sebati dengan Kristian, iaitu hampir 43 tahun lamanya. Jadi untuk menanggalkan label Kristian itu bukan sesuatu yang mudah kerana dengan agama itu juga saya sebenarnya dapat menikmati kehidupan yang selayaknya untuk dinikmati," kata beliau.

Namun, Gerald mengakui bahawa beliau begitu berat untuk meletakkan Kristian sebagai perakuan agama ketika mengisi borang pasport, dokumen untuk memohon perjalanan ke Timur Tengah. "Saya ketawa bagi melindungi perasaan sebenar saya yang masih begitu bermain sedangkan dari akademik dan logik, saya dapat mengakui Islam," katanya.

sehinggalah suatu hari ketika sedang khusyuk membaca al-quran terjemahan yang ketiga di sebuah restoran Arab, beliau ditegur oleh Iman, isteri tuan punya restoran itu. Sebabnya, hanya mereka yang memeluk Islam sahaja yang akan membaca al-quran mahupun terjemahan kitab suci itu.

"Secara spontan saya menjawab, tidak!," kata Gerald. Beliau kemudiannya telah menyedari telah bersikap kasar lalu menemui semula Iman dan menjelaskan kepadanya. "Bahawa sekiranya dia bertanya sama ada saya percaya tuhan yang satu, pasti saya menjawab 'ya' dan sekiranya ditanya saya mempercayai Nabi Muhammad, jawapan saya sama, saya percaya kerasulan baginda!" katanya.

mungkin dengan jawapan Dr. Gerald itu sebenarnya beliau telah mengucap dua kalimah syahadah tanpa beliau sedari. Namun beliau masih belum mempunyai kekuatan yang jitu bagi membulatkan sebarang perubahan baru yang akan mengubah keseluruhan hidupnya dan apatah lagi untuk berhadapan dengan pandangan masyarakat terhadap beliau selama ini.

Begitu pun, kunjungan beliau ke Amman, ibu negara Jordan merupakan titik yang menjadi transformasi kepada Jerald dan isterinya. Ketika melakukan kajian di negara itu, secara tiba-tiba Jerald ditegur oleh seorang rakyat Jordan yang beliau tidak kenali.

Selepas memberi salam kepada Jerald yang hanya mampu menjawab dengan menganggukkan kepala, tidak semena-mena lelaki ini bertanya samada beliau seorang muslim.

"Ketika itu saya benar-benar terperangkap, saya tidak mampu lagi bermain dengan sebarang permainan perkataan yang intelektual untuk menipu kebenaran yang ada.

"Semudah samada saya menjawab 'ya' atau 'tidak'. lalu saya benar-benar membuat satu pilihan apabila saya akhirnya menjawab "Na'am ana Muslim"(ya saya muslim)" katanya.

Allahuakbar! Tuhan Maha Besar! sejurus jawapan itu keluar dari mulut Jerald beliau dapat berasakan seluruh beban kini bagaikan telah jatuh luruh daripada dirinya.

"Saya berasa sungguh ringan dan satu ketenangan yang luar biasa menyelinap masuk ke dalam hati saya. Keputusan ini bukan satu kesilapan walaupun saya menyedari pelbagai risiko dan cabaran yang bakal saya hadapi," katanya.

tamat...
sumber: UTUSAN MALAYSIA. KHAMIS 23 APRIL 2009
DAKWAH BIL HAL PIKAT JERALD
SUSUNAN OLEH SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com