Dakwah bil hal pikat Jerald (bahagian 1)

Seseorang yang tidak punyai pegangan agama atau tidak menyatakan agama apa yang dianuti dianggap sebagai tidak mempunyai identiti diri. Begitulah pentingnya agama kepada warga Amerika Syarikat, Dr. Jerald Dirks.

Bukan sahaja atas nama identiti, agama kepada Jerald juga turut bermakna mesti dipertahankan dan disebar kepada orang lain!

Namun bagaimana beliau yang merupakan penganut agama kristian yang sangat taat, akhirnya tunduk kepada Islam?

Ini berlaku pada tahun 1993, Jerald akhirnya memeluk islam. Nama Abu Yahya dipilih untuk menyerlahkan lagi identiti agama yang beliau baru anuti itu. Jika ditelusuri kehidupan lampau beliau, , kita mendapati Jerald adalah 'umat' Kristian yang paling baik yang pernah ditemui.

"Pada lewat 1950an, dengan tiga buah gereja terdapat di pekan kelahiran saya, menjadikan seluruh penduduk begitu kuat berpegang pada agama itu," katanya.

Beliau melakukan pelbagai aktiviti untuk gereja milik keluarganya, Gereja Methodist. Jerald tidak pernah gagal menghadiri sebarang upacara sembahyang sehingga pernah dianugerahkan pelbagai trofi kejuaraan kerana kehadiran penuh dan berjaya menghafal ayat-ayat dari Bible.

Pada usia 17 tahun, ketika memasuki Kolej Harvard atas nama cintakan agamanya, dia memilih kursus yang membolehkannya menjadi paderi yang bertauliah. Ini termasuk keperluan kursus Perbandingan Agama yang membolehkannya pertama kali mengenal Islam. Kursusu itu diajar oleh seorang pensyarah iaitu Wilfred Cantwell Smith, yang mempunyai kepakaran dalam pengajian agama itu.

Bagaimanapun, Jerald tidak begitu memberi tumpuan terhadap pengajian Islam berbanding minat yang tinggi terhadap agama Hindu dan Buddha.

HOLLIS SCHOLAR

Atas kesungguhannya, kalangan warga Harvard menggelar beliau Hollis Scholar. Tamat pengajian, beliau menyambung pengajian tinggi di Harvard Divinity School atas tajaan Biasiswa Stewart iaitu sumbangan dari pihak gereja bagi membolehkan beliau beroleh ijazah Master of Divinity pada tahun 1974.

Sebaik sahaja tamat pengajian, Jerald terus dihantar bertugas sebagai paderi di dua buah Gereja United Methodist. Sekaligus di kawasan pedalaman Kansas yang menyaksikan semakin ramai kembali mengunjungi gereja berbanding keadaan sebelumnya.

Semua ini 'berkat' kesungguhan Jerald sebagai seorang paderi yang berwibawa. Dengan latar belakang pendidikan dan prestasi kerjaya yang sebaik itu tentunya Jerald seorang yang tidak lagi dalam pencarian. Sebabnya, segala-galanya kini telah terjawab dan tidak mungkin iman akan tergugat dengan apa jua gejala yang melanda.

"Tetapi mungkin secara luaran saya dilihat begitu, tetapi jauh di sudut hati saya sebenarnya berperang!" ujarnya.

Walaupun sudah semakin jauh dan begitu mengenali agama sendiri, namun beliau akhirnya menyedari beberapa aspek yang tidak kena dengan agama asalnya.

Antara 'keaslian Bacaan' daripada pelbagai teks kitab-kitab Bible, konsep triniti yang sentiasa mengalami evolusi sebagai 'Tuhan yang satu' namun tetap meletakkan Nabi Isa itu sebagai Tuhan.

bersambung...

sumber: UTUSAN MALAYSIA. KHAMIS 23 APRIL 2009
DAKWAH BIL HAL PIKAT JERALD
SUSUNAN OLEH SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com