Dakwah bil hal pikat Jerald (bahagian 2)

MENGENALI ISLAM

Ketika inilah buat pertama kalinya beliau dan isterinya mula mengenali Islam yang kebetulan mereka berdua sedang membuat kajian mengenai sejarah kuda-kuda Arab. Matlamat utama kajian itu untuk menyelamatkan dokumen-dokumen atau naskhah-naskhah sejarah Arab lama.

Tugas itu memerlukan beliau mendapat pertolongan kalangan bangsa Arab, terutama untuk menterjemahkan teks-teks berbahasa Arab dan memberi panduan mengenai sejarah kuda serta Arab itu sendiri. Seorang berbangsa Arab bernama Jamal akhirnya menawarkan diri membantu mereka dengan hadir ke rumah Jerald hampir setiap hari. Selain membantu Jerald, Jamal melakukan dakwah secara halus yang berjaya menyentuh hati Jerald yang mula kagum dengan cara hidup yang ditunjukkan oleh Jamal.

Ini kerana sebelum pulang, Jamal akan meminta kebenaran mengambil air sembahyang diikuti meminta hanya sehelai kertas sebagai alas atau sejadah. Jamal kemudiannya solat tanpa sebarang rasa ragu dan janggal walaupun di dalam sebuah rumah milik seorang paderi Kristian.

"Tanpa kami sedari bahawa Jamal sebenarnya sedang menunjukkan satu bentuk dakwah yang sangat cantik yang menyebabkan hati kami begitu tertarik," katanya.

Jamal benar-benar menjayakan konsep dakwah bil hal (dengan contoh) dengan tidak pernah mengambil kesempatan untuk bercerita mengenai Islam. Jauh sekali untuk memaksa Dr. Jerald dan isterinya memeluk Islam, walaupun peluang itu ada untuk Jamal berbuat demikian.

"Banyak yang saya belajar dari Jamal yang tidak pernah cuai mendirikan solat, sampai masa dan waktunya dia akan segera solat tetapi itu pun dengan terlebih dahulu meminta kebenaran dari saya sebagai tuan rumah," katanya.

Jerald suami isteri benar-benar tertarik dengan cara Jamal mengendalikan kehidupannya baik untuk soal kerja dan cara beliau bersosial. Malah cara Jamal mendidik anak-anaknya juga amat menarik perhatian keluarga Kristian ini.

"Jika Jamal memberi penerangan mengenai Islam pun, dia akan memberitahu dengan begitu profesional tanpa menyelitkan sebarang propaganda mengenai Islam di situ," katanya.

ini termasuklah Jamal membantu Jerald memahami mengenai sejarah tanah Arab, sejarah Islam, Nabi Muhammad, al-Quran termasuk terjemahan-terjemahan penting kitab itu.

bersambung...

sumber: UTUSAN MALAYSIA. KHAMIS 23 APRIL 2009
DAKWAH BIL HAL PIKAT JERALD
SUSUNAN OLEH SITI AINIZA KAMSARI

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com