~~KISAH PARA WALI (Hasan Dari Basrah)

HASAN DARI BASRAH

~~Hasan bin Abil Hassan al-Basri lahir di Kota madinah pada tahun 21H/642M. dia adalah putera dari seorang hamba yang ditangkap di Maisan, kemudian menjadi penolong kepada pembantu Nabi Muhammad, Zaid bin Tsabit.

~~Hassan meninggal dunia di Kota Basrah pada tahun 110H/728M.

HASAN AL-BASRI BERTAUBAT

~~Pada mulanya Hasan adalah seorang penjual batu permata, kerana itu dia digelar sebagai Hasan si pedagang mutiara. Hasan mempunyai hubungan perdagangan dengan Bizantium, kerana itu dia berhubung rapat dengan para jeneral dan menteri Kaisar. Dalam sebuah peristiwa ketika pergi ke Bizantium, Hasan mengunjungi perdana menteri dan mereka berbincang beberapa saat.

~~”Jika engkau suka, kita akan pergi ke sesuatu tempat,” menteri itu mengajak Hasan.

~~”Terpulang kepadamu,” jawab Hasan. “ Ke mana pun jua aku menurutnya.”

~~Menteri itu memerintahkan agar disediakan seekor kuda untuk Hasan. Menteri naik ke belakang kudanya, Hasan pun melakukan perkara yang serupa, setelah itu mereka berangkat menuju padang pasir. Sesampainya ke tempat yang dituju, Hasan melihat sebuah khemah yang dibuat daripada brokat Bizantium, diikat dengan tali sutera dan dipancang dengan tiang emas di atas tanah. Hasan berdiri jauh darinya.

~~Tidak berapa lama kemudian, muncul sepasukan tentera yang cukup dengan kelengkapan perang. Mereka lalu mengelilingi khemah tersebut, mengucapkan beberapa patah perkataan sebelum pergi. Setelah itu muncul pula ahli falsafah dan cerdik pandai yang hampir empat ratus orang jumlahnya. Mereka mengelilingi khemah itu dan mengucapkan beberapa patah perkataan lalu meninggalkannya. Hasan berasa hairan menyaksikan kejadian-kejadian itu dan bertanya kepada dirinya sendiri, “apakah itu semua?”

~~Hasan bertanya kepada perdana menteri. Menteri itu menjawab bahawa dahulu Kaisar mempunyai seorang putera yang tampan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan dan tidak seorang pun dapat menandinginya. Kaisar sangat sayang kepada puteranya itu. tanpa diduga-duga, puteranya jatuh sakit. Semua tabib walau bagaimana mahir sekalipun tidak mampu menyembuhkan penyakitnya di bawah khemah tersebut. Setiap tahun orang ramai datang menziarahi kuburnya.

~~Sepasukan tentera yang mula-mula mengelilingi khemah tersebut berkata “Wahai putera mahkota, seandainya malapetaka yang menimpa dirimu ini terjadi di medan pertempuran, kami semua akan mengorbankan jiwa raga kami untuk menyelamatkanmu. Tetapi malapetaka ini datangnya dari DIA yang tidak sanggup kami perangi dan tidak dapat kami tentang,” setelah itu mereka pun berlalu dari tempat itu.

~~Kemudian tibalah giliran ahli falsafah dan cerdik pandai. Mereka berkata: “ Malapetaka yang menimpa dirimu ini malapetaka dari DIA yang tidak dapat kami lawan dengan ilmu pengetahuan, falsafah dan juga tipu muslihat. Kerana semua falsafah di muka bumi ini tidak berdaya menghadapiNYA dan semua cerdik pandai hanya seperti orang-orang dungu di hadapanNYA. Jika tidak demikian halnya, kami akan berusaha mengajukan dalih-dalih yang tidak dapat dibantah oleh sesiapapun di alam semesta ini.” setelah berucap demikian para falsafah dan cerdik pandai itu pun berlalu dari tempat tersebut.

~~Akhir sekali Kaisar berserta perdana menterinya masuk ke dalam khemah tersebut dan berkata :”wahai biji mata dan pelita hati ayahanda! Apakah yang dapat dilakukan oleh ayahanda ini? ayahanda telah datangkan sepasukan tentera yang perkasa, para ahli falsafah dan cerdik pandai, para penasihat, wanita-wanita yang cantik jelita, harta benda dan pelbagai barang berharga, dan ayahanda sendiri pun telah datang. Jika ini semua ada faedahnya, maka ayahanda sendiri yang akan melakukan sesuatu. Tetapi malapetaka ini telah ditimpakan kepadamu oleh DIA yang tidak dapat dilawan oleh ayahanda. Semoga engkau mendapat kesejahteraan, selamat tinggal sampai tahun akan datang.” Kemudian Kaisar berlalu pergi dari tempat itu.

~~Cerita menteri ini sangat memberi kesan di hati Hasan. Ia tidak dapat melawan dorongan hatinya. Dengan segera dia bersiap-siap untuk kembali ke negerinya. Sesampainya di Kota BAsrah dia bersumpah tidak akan tertawa lagi di atas dunia ini sebelum mengetahui dengan pasti bagaimana nasib yang akan dihadapinya nanti. Dia melakukan segala macam kebaktian dan disiplin diri yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun pada masa hidupnya.

Bersambung…nantikan tajuk seterusnya “Hasan Dari Basrah dan Abu Amr”

~~Titisan Air Mata Kerana Allah (Pelacur Kampung)~~

KISAH TAUBAT TIGA GADIS PELACUR DAN PELACUR-PELACUR KAMPUNG YANG LAIN

~~Said ibnu ‘Amir meriwayatkan bahawa Hasan Abu Jaafar telah berkata:

~~”Luqman al-Habsyi adalah seorang hamba milik seorang lelaki. Lelaki itu telah membawa Luqman ke pasar untuk menjualnya. Setiap kali orang ramai datang hendak membelinya, Luqman bertanya kepada mereka:

~~”Apa yang tuan akan perlakukan untuk saya nanti?”

~~Masing-masing menjawab: “Aku boleh lakukan itu…dan ini…” jawab mereka.

~~Akhirnya Luqman berkata: “Hajat saya pada tuan, lebih baik tuan jangan membeli saya”

~~Lama-kelamaan datanglah seorang lelaki lain lalu bertanya: “Apa yang tuan akan perlakukan untuk saya nanti?”

~~”Aku akan jadikan engkau pengawal anjing di rumahku,” jawab orang itu.

~~”Kalau begitu, tuan belilah saya,” ujar Luqman.

~~Akhirnya orang itu membeli Luqman dan membawanya pulang ke rumah. Tuannya yang baru ini mempunyai tiga orang anak gadis dan ketiga-tiganya amat terkenal sebagai pelacur. Masyarakat di dalam kampung itu amat mengenali mereka. Kini, tuannya yang baru ingin keluar dari rumah kerana mahu menyelesaikan urusan seharian. Beliau berkata kepada Luqman:

~~”Aku telah pun menyediakan untuk mereka makanan dan apa-aa yang mereka hajati. Jadi apabila aku telah keluar nanti, maka engkau kuncilah pintu ini dan engkau duduklah di belakangnya. Jangan sesekali engkau buka pintu ini sehingga aku pulang”.

~~Setelah tuannya keluar, ketiga-tiga anak dara itu pun datang dan berkata kepada Luqman: “ Ayuh buka pintu tuu!!”

~~Luqman tidak mengendahkan permintaan mereka. Akhirnya ketiga-tiga anak gadis itu terus menghempuk Luqman sehingga berdarah mukanya. Luqman kemudiannya pergi membasuh darah yang mengalir, selepas itu dia kembali dan duduk semula di hadapan pintu tadi.

~~Tidak berapa lama kemudian, tuannya pulang. Luqman tidak memberitahu kepada tuannya terhadap apa yang berlaku. Selepas itu, tuannya bersiap-siap untuk keluar semula. Sebelum itu dia berpesan:

~~”Aku telah pun memberi mereka apa-apa yang mereka hajati. Oleh itu, jangan sesekali kamu buka pintu ini apabila mereka suruh kamu membukanya nanti!”

~~Setelah tuannya keluar, ketiga-tiga anak gadis itu pun datang dan berkata kepadanya: “Ayuh buka pintu ini!!”

~~Namun Luqman tetap enggan menurut perintah mereka dan tidak membuka pintu tersebut. Akhirnya ketiga-tiga gadis itu menghempuknya dengan sepuas-puas hati. Kemudian kembali semula ke bilik masing-masing. Luqman tetap berada di situ.

~~Apabila tuannya pulang, dia tidak memberitahu kepadanya terhadap peristiwa yang telah berlaku. Akhirnya gadis yang sulung berkata: “Apa kena dengan si hamba Habsyi itu? nampaknya dia lebih mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini, aku bertaubat kepadaNYA!”

~~Kemudian, gadis yang bongsu pula berkata: “nampaknya si hamba Habsyi dan kakak aku itu telah mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini aku akan bertaubat.” Akhirnya gadis yang bongsu ini turut bertaubat.

~~Manakala gadis yang tengah pula, apabila melihat kedua-dua adik-beradiknya bertaubat, dia pun berkata pada dirinya: “Nampaknya si hamba Habsyi dan kedua adik-beradikku lebih mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini aku akan bertaubat.”

~~Sementara itu para pelacur kampung yang lain apabila melihat keadaan itu, akhirnya mereka pun turut bertaubat kepada Allah dan mereka kemudiannya tersenarai sebagai ahli ibadat di desa tersebut.”

SINAR DAN KUASA KHULAFA AR-RASYIDIN (Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

SINAR DAN KUASA KHULAFA AR-RASYIDIN (Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

~~Abu Bakar as-Siddiq ialah khalifah pertama dari tahun 632-634M. beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (Hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah.

~~Nama beliau sentiasa digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab, Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar menternak unta.

~~Beliau amat terkenal dengan gelaran as-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah, Abdullah ibni Abi Quhaafah.

~~Selain itu, Abu Bakar juga merupakan lelaki pertama yang memeluk Islam. Pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga di dalam al-Quran:

~~Jika kamu menolong Nabi, sesungguhnya Allah telah menolongnya, ketika orang-orang kafir mengusirnya sebagai orang kedua dari dua orang (seorang lagi Abu Bakar) ketika keduanya dalam gua (bukit Thur), ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau takut sesungguhnya Allah bersama kita. Lalu Allah menurunkan ketenangan di atas dirinya dan menguatkannya dengan bala tentera yang tidak kamu lihat (malaikat) dan Allah menjadikan perkataan orang-orang kafir terbawah dan perkataan Allah tertinggi dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

(At-Taubah, ayat 40)

KEBERANIANNYA

~~Saidina Abu Bakar merupakan sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang paling rapat dengan baginda.

~~Semasa Nabi berhujarah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622M, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah tanpa ditemani oleh orang lain.

~~Rasulullah mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aisyah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku.

~~Pernah menjadi kaya dan beliau juga sentiasa dikenang kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal bin Rabah.

~~Abu Bakar As-Siddiq dipilih oleh sahabatnya dengan sebulat suara. Beliau adalah salah seorang di antara 10 sahabat Nabi yang mendapat jaminan ke syurga.

~~Rasulullah bersabda :

~~Tidak aku membicarakan tentang Islam kepada seseorang, melainkan ia menolak dan membantah perkataanku kecuali Ibnu Abu Quhaafah. Maka sesungguhnya aku tidak pernah mengatakan tentang sesuatu kepadanya kecuali ia menerima dengan teguh di atasnya.

(HR. Abu Nuaim, Ibnu Asakir)

MEMBEBASKAN AHLI SYURGA

~~Bilal bin Rabah adalah seorang hamba abdi berkulit hitam. Dia adalah di antara tujuuh orang yang pertama memeluk Islam meskipun diancam oleh orang kafir Quraisy yang tidak menyukai kedatangan agama baru itu.

~~Apabila tuannya mengetahui pengislaman Bilal, dia telah diseksa dengan dipakaikan baju besi, kemudian dijemur di padang pasir yang amat panas.

~~Ketika ditanya tentang pegangan agamanya, Bilal tetap mengatakan “Ahad! Ahad! (Allah yang Esa)”

~~Imannya tidak bergoncang sedikitpun. Apabila melihat tiada perubahan pada diri bilal, seksaannya ditambah lagi sehingga menjadi lebih berat.

~~Sebiji batu besar diletakkan di atas badannya, lalu dijemur di padang pasir di bawah terik matahari.

~~Apabila Abu Bakar as-Siddiq diberitahu tentang seksaan tersebut, dia terus berjumpa Umaiyah yang sedang menyeksa Bilal lalu meminta Bilal dibebaskan.

~~Sebagai pengganti, Abu Bakar menyerahkan seorang hamba berkulit hitam yang lebih kuat sebagai tebusan.

~~Sebaik sahaja ditebus, Abu Bakar terus memerdekakan Bilal dan membebaskannya dari perhambaan.

MENJADI KHALIFAH

~~Semasa Rasulullah sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat kaum muslimin. Selepas kewafatan Nabi, sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang Khalifah bagi memimpin umat Islam.

~~Hasil dari perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

~~Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah.

~~Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar.

~~Tentangan itu tamat setelah Saidina Ali membai’at Saidina Abu Bakar.

MEMIMPIN PERANG RIDDAH

~~Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah. Masalah tersebut menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam.

~~Banyak puak Arab memberontak dan menentang perlantikan Khalifahnya. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat, manakala ada juga yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka.

~~Puak-puak itu mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah dan memandangkan Rasulullah telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

~~Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan muslim.

~~Ada di antara mereka mendakwa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad itu, Saidina Abu Bakar melancarkan peperangan terhadap golongan yang digelar golongan RIDDAH.

~~Maka bermulalah Perang Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah. Khalid al-Walid berjaya menumpaskan Musailamah dalam suatu pertempuran.

EKSPEDISI KE UTARA

~~Setelah berjaya mengurangkan golongan Riddah, Saidina Abu Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi.

~~Khalid al-Walid berjaya menawan Iraq hanya dalam satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria.

~~Menurut seorang orientalis barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah lanjutan daripada Perang Riddah.

~~Perkara itu dijelaskan salah kerana golongan Riddah terletak di selatan Semenanjung Arab bukannya di utara.

MENGUMPUL AYAT AL-QURAN

~~Menurut ahli sejarah Islam, selepas Perang Riddah ramai orang yang mahir menghafal al-Quran terbunuh.

~~Saidina Umar al-Khattab meminta Saidina Abu Bakar mula menjalankan aktiviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran.

~~Saidina Uthman bin Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

~~Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634M di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi Khalifah. (Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula pendapat mengatakan beliau meninggal dunia secara normal)

~~Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar menggesa masyarakat menerima Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah yang baru.

~~Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

(Sumber: Insan Mulia di Sisi Rasulullah

Dr. Khairul Ghazali, MS.i)

~~Sinar Dan Kuasa Wanita Pilihan~~

UMMU HAKIM BINTI AL-HARITS AL-MAKHZUMIYAH

~~Ummu Hakim binti al-Harits al-Makhzumiyah, isteri Ikrimah bin Abu Jahal adalah lambang wanita yang sanggup berkorban demi keimanan dan membawa suaminya ke dalam lembaran jihad.

MEMINTA KEAMPUNAN UNTUK SUAMINYA

~~Ummu Hakim adalah wanita mujahidah yang agung. Sebelum memeluk Islam, dia keluar bersama suaminya untuk turut serta dalam Perang Uhud. Suaminya ialah Ikrimah bin Abu Jahal dan dia harus berdiri dalam barisan musyrikin pada ketika itu.

~~Namun begitu, pada waktu penaklukan Mekah,dia sendiri yang memeluk Islam tanpa suaminya. Dia telah meminta perlindungan akan diri suaminya.

~~Kaum Muslimin turut melindunginya. Akan tetapi, Ikrimah melarikan diri. Ummu Hakim keluar mencarinya, namun Ikrimah telah lari ke Yaman. Ummu Hakim menemuinya di pesisir Tihamah. Ikrimah telah berada di atas kapal.

~~Maka Ummu Hakim memanggilnya : “Hai putera bapa saudaraku, aku datang kepadamu dari orang yang paling pemurah, paling banyak berbuat kebajikan dan sebaik-baik manusia. Jangan binasakan dirimu! Aku telah meminta perlindungan bagimu dan dia telah melindungimu.”

~~Ikrimah berkata : “Engkau lakukan itu?”

~~~Ummu Hakim menjawab : “Ya, aku berbicara dengannya, lalu dia melindungimu.”

~~Maka Ikrimah kembali bersamanya. Ikrimah datang dan berhenti di pintu rumah Rasulullah bersama isterinya.

~~Ummu Hakim meminta izin kepada Rasulullah, lalu masuk. Umar memberi laporan kepada Rasulullah tentang kedatangan Ikrimah yang telah memeluk Islam.

TURUT SERTA DALAM BEBERAPA PEPERANGAN

~~Ummu Hakim termasuk para wanita yang berada di sekitar Rasulullah dalam menjalankan dakwah dan membelanya.

~~Dia turut serta dalam perang Yarmuk dan menunjukkan keberaniannya. Dia bertempur dengan sengit dalam perang Marjash-Shafar (berhampiran Damsyik).

~~Dia keluar memegang tiang khemah dan membunuh tujuh orang tentera Rom dengan tiang tersebut.

Sumber: Insan Mulia di sisi Rasulullah


~~Siapa CINTA pertama anda?~~

~~CINTA PERTAMA~~

~~ Cinta… pelbagai definisi dan maksud mungkin akan keluar daripada mulut manusia. Antaranya adalah perasaan kasih-sayang sesama manusia…

~~ Jenis-jenis cinta pula, adalah cinta pada pandangan pertama, cinta bertepuk sebelah tangan, cinta palsu, cinta segitiga, cinta monyet, cinta dunia, cinta harta…dan yang paling penting adalah CINTA ALLAH. Berapa ramai dalam kalangan kita semua benar-benar menCINTAI ALLAH melebihi cintanya pada manusia…susahnya nak telah…kerana cinta itu tidak boleh dikira menggunakan calculator. Hehe.

~~ Semestinya apabila kita bertanyakan pada rakan-rakan : “Apakah kamu menyintai ALLAH lebih daripada mencintai kekasihmu sendiri?” dan sudah pasti jawapan mereka adalah “Iya, saya mencintai ALLAH lebih daripada mencintai dia.”

~~Harapnya, apa yang diakui itu selari dengan gerak hati. Bukan sekadar kelembutan lidah berbicara dan kemanisan bibir melontar kata.

~~ Cinta pandang pertama, sepatutnya adalah jatuh kepada ALLAH, bukan manusia ciptaanNYA. Saya rasa mungkin ramai juga menyokong kata-kata saya, kerana Allah merupakan perkara pertama yang kita lihat berbanding dengan sekelilingnya yakni di alam cahaya sebelum kita bernama manusia. (Maha suci ALLAH untuk dibandingkan dengan segala bentuk).

~~ Firman Allah bermaksud:” Barangsiapa di antara hambaKU yang ingin bertemu denganKU, hendaklah dia beramal soleh.”

~~Akan tetapi, sebagai hamba yang dha’if dan lemah, jangan sesekali membayangkan dalam hati, bahawa pertemuan dengan Allah itu seperti menatap sesuatu pada tempatnya. Pertemuan ini hanya Allah yang tahu bagaimana konsekuensinya.

~~Dalam kitab “FATHUL MAZID” dikatakan bahwa melihat ALLAH adalah sebuah nikmat yang melebihi segala nikmat di syurga, dan dalam kitab ini mengatakan bahawa melihat ALLAH itu “Tidak pernah terbayangkan di hati, dan tidak pernah di dengar oleh telinga, dan tidak pernah dipandang oleh mata dan dari hujung kaki sehingga hujung rambut merasakan kenikmatan tersebut, sehingga di ketika itu ahli syurga terlena dengan indahnya zat Allah Taala.”

~~Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah, Yang Maha Agung dan Mulia menjumpaiku – yakni dalam tidurku- kemudian berfirman kepadaku, “ Wahai Muhammad, katakanlah : “Ya ALLAH, aku memohon kepadaMU untuk mencintaiMU, mencintai sesiapa sahaja yang mencintaiMU, serta mencintai perbuatan yang mengantarkan aku untuk mencintaiMU.” Dalam amal ubudiyah, cinta (mahabbah) menempati darjat yang paling tinggi. Mencintai ALLAH dan rasulNYA bererti melaksanakan seluruh amanat dan ajaran al-Quran dan sunnah Rasul, disertai luapan kalbu yang dipenuhi rasa cinta.

~~ Dalam buku “Mahabbatullah” (mencintai ALLAH), Imam Ibnu Qayyim menuturkan tahap-tahap menuju wahana cinta ALLAH. Bahawasanya cinta senantiasa berkaitan dengan amal. Dan amal sangat tergantung pada keikhlasan kalbu, di sanalah cinta ALLAH berlabuh. Ini disebabkan cinta ALLAH merupakan refleksi dari disiplin keimanan dan kecintaan yang terpuji, bukan kecintaan yang tercela yang menjerumuskan kepada cinta selain ALLAH.

~~Wallahu’alam.

p/s: zaman sekarang, orang yang benar2 mencintai ALLAH akan dipenjara dan dikatakan ilmu sesat…tapi org yg benar2 berilmu sesat, dibiarkan berkeliaran…hanya ALLAH MAHA MENGETAHUI setiap sesuatu kejadian…

~~cinta suci balqis (bab enam)~~


BAB ENAM

Perjalanan ke Sungai Congkak mengambil masa kira-kira dua jam setengah dari Putrajaya apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Keadaan di dalam kereta Fakrul tenang dengan iringan lagu-lagu berentak jazz. Sesekali Fakrul memandang ke arah isteri dan anaknya yang terlena di kerusi belakang. Mungkin mereka letih. Maklumlah sejak kebelakangan ini, Leya sering terjaga antara pukul tiga pagi dan kembali tidur apabila hari hampir subuh. Kalau dibiarkan berjaga sendirian, pasti si kecil akan menangis. Mahu tidak mahu, isterinya jugalah yang terpaksa melayan kerenah anaknya. Kadang-kadang naik kagum Fakrul dengan isterinya. Sudahlah penat bekerja disiang hari, malam pula tidur hanya sebentar, terpaksa melayan si kecil bermain. Satu pekerjaan yang amat jarang sekali golongan suami akan bekerjasama dengan isteri. Fakrul hanya sesekali akan bangun bermain dengan Leya apabila melihat keadaan Huda yang terlalu letih.

Huda hanya terjaga daripada tidur apabila Fakrul memberhentikan keretanya di stesen Petronas. Mungkin mahu membeli sesuatu. Atau mungkin juga mahu membuang air. Huda merenggangkan otot-otot badannya. Agak letih apabila tidur di dalam kereta. Dia melihat Leya lalu dikucupnya dahi si kecil dengan penuh kasih. Leya bergerak-gerak sedikit. Dia membuka matanya perlahan menatap wajah ibunya. Mata yang sedikit kemerahan kembali dirapatkan setelah menghadiahi ibunya segaris senyuman. Keletihan yang membelenggu Huda segera hilang setelah mendapat penawar daripada anaknya. Itulah yang dikatakan anak penyeri rumahtangga. Segera dia teringat kata-kata arwah ayahnya. “Anak yang halal adalah anak yang dilahirkan bersama dengan makrifatullah seorang ibu.” Huda hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Walaupun ayahnya sering tinggalkan dia dan ibunya, namun setiap kali pulang, pasti akan dihadiahi dengan kata-kata nasihat yang amat penting. Baru kini dia faham akan kata-kata arwah ayahnya setelah dia bergelar seorang ibu. Biarpun sewaktu melahirkan Leya, tiada seorang pun yang datang menemani, namun dia tetap ada Allah yang sentiasa memenuhi setiap rongga tubuhnya.

Keadaan di stesen Petronas agak lengang. Hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang datang menyinggah. Itupun disebabkan mahu memenuhi tangki minyak yang hampir kosong. Huda masih menunggu kedatangan suaminya. Entah apalah yang dibuat suaminya. Keluar dari kereta langsung tidak dikejutkan Huda. Mujurlah dia terjaga dan sempat mengunci pintu kereta daripada dalam. Hanya beberapa minit kemudian barulah dia ternampak kelibat suaminya tetapi dengan seorang wanita. Seolah-olah sedang membincangkan sesuatu yang serius antara mereka berdua. Namun sebagai seorang yang profesional, Huda hanya membiarkan sahaja keadaan itu. Dia kenal Amira berdasarkan cerita daripada suaminya dan juga Azril kawan rapat Fakrul. Mungkinkah wanita itu masih mahu mengganggu hidup suaminya. Sekiranya itu berlaku, dia tidak hairan kerana dia tahu perangai suaminya. Sehingga kini suaminya tidak berlaku curang terhadapnya.

Fakrul sedikit kaget apabila melihat Huda sedang memerhatikan mereka berdua dari dalam kereta. Dia bimbang andai isterinya tidak memahami situasinya. Namun perasaan itu hilang apabila melihat Huda tersenyum. Fakrul segera meninggalkan wanita tersebut. Langkahnya laju kea rah kereta Honda hitam miliknya.

“Sayang… abang mintak maaf,” Fakrul menutur kata sebaik sahaja masuk ke dalam keretanya. Dia memusingkan badannya menghadap ke belakang. Dia merenung mata isterinya. Langsung tiada riak marah ataupun sakit hati dengan situasi sebentar tadi.

“Tak ada apalah, abang. Saya faham keadaan abang macam mana. Sebelum ni pun abang dah cerita kat saya, kan? So, tak ada apa-apalah. Saya tahu perangai abang macam mana. Jangan risaulah. Hal tu dah lepas pun,” Huda membalas. Kata-katanya lebih kepada pujukan. Dia tahu suaminya amat berasa serba-salah dengan situasi sebentar tadi. Kalau mahu ikutkan hati, memang dia agak sedih, namun itu bukanlah salah suaminya.

“Betul ke, sayang tak kisah? Abanng pun tak sangka boleh jumpa dia kat sini. Abang tak ada niat langsung nak sakitkan hati sayang. Abang mintak maaf banyak-banyak.”

“Sudahlah abang, hal dah lepas pun. Bukan boleh patah balik. Sekarang ni, hal yang belum lepas lagi, Sungai Congkak. Saya tak nak patah balik,” Huda berseloroh. Dia cuba menceriakan keadaan yang hampir merosakkan mood mereka berdua. Sudahnya mereka sama-sama ketawa. Sudah lupa tentang Leya yang sedang nyenyak tidur. Leya sedikit merengek apabila tidurnya terganggu. Segera pasangan suami-isteri itu memperlahankan suara.

Fakrul kembali memulakan pemanduan keluar daripada stesen Petronas. Dia memandu secara berhati-hati biarpun kenderaan beransur kurang di jalan raya. Sesekali dia memandang ke belakang. Isterinya sedang mengelamun. Bimbang isterinya memikirkan tentang kejdian tadi, segera dia memecahkan tembok kesunyian antara mereka.

(IMBAS KEMBALI)

Hari bahagia yang sering diungkapkan oleh pasangan yang baru berkahwin telah pun berlalu. Namun hari bahagia tersebut bukanlah hari kegembiraan buat Huda. Hari yang sepatutnya pasangan akan bersanding hanya disambut dengan majlis doa selamat dari pihak keluarga Huda. Mujurlah juga orang-orang kampung tidak banyak bertanya. Mungkin disebabkan mereka memahami letak kedudukan kewangan keluarga Huda. Pengantin lelaki hanya datang sebentar sahaja. Selesai majlis tahlil dan bacaan doa, tanpa menjamah makanan, Fakrul terus meluru keluar. Dia meninggalkan majlis dengan menaiki keretanya tanpa sempat ditahan. Sudahlah hari pernikahan mereka semalam, dia melakukan perkara tersebut. Hari ini masih melakukan perkara yang sama. Sememangnya Fakrul langsung tidak mahu menatap wajah isterinya. Gambar yang diberikan oleh Datin Salina entah dimana dia letakkan. Yang pasti bukan di dalam tong sampah. Mujur juga penduduk kampung yang hadir tidak perasan akan keadaan tersebut.

Di dalam kereta mewah Honda hitam, Fakrul tersenyum sendirian. Puas hatinya dapat melarikan diri daripada majlis yang membuatkan dirinya gelisah kebelakangan ini. Mujur alasan yang diberikannya dapat diterima pakai oleh Datuk Shakir. Ada mesyuarat penting!

Perjalanan bertolak dari Pahang ke Kuala Lumpur mengambil masa hampir empat jam. Fakrul sengaja melalui jalan yang berbengkang-bengkok yang di panggil Bukit Putus walaupun telah terdapat jalan raya yang baru. Di kiri dan kanan jalan dinaungi dengan rimbunan pohon-pohon hijau. Begitu mendamaikan. Tambahan pula, waktu itu kenderaan kurang lalu lalang. Hanya beberapa buah lori sahaja yang membuatkan keadaan jalan raya kurang lancar. Maklumlah keadaan jalan yang berbengkang-bengkok membuatkan penghuni kenderaan lebih berhati-hati. Silap langkah, pasti maut mengundang kerana hampir sepanjang perjalanan penghuni kenderaan ditemani dengan jurang yang agak dalam. Tahu sahajalah kawasan bukit yang dijadikan jalan raya.

Manakala keadaan di rumah Huda masih riuh dengan para tetamu yang hadir. Huda langsung tidak menghiraukan dengan ketiadaan suaminya. Malah hatinya lebih tenang sekiranya lelaki tersebut tiada di sisinya. Semalam juga begitu. Malamnya hanya dia seorang diri. Tetap seperti anak dara biasa. Cuma yang berbeza kini, dia adalah seorang isteri kepada seorang lelaki yang langsung tidak dikenali hati budinya. Malah dari penglihatannya semalam, usai akad nikah, suaminya seolah-olah tidak mahu langsung memandang wajahnya. Namun situasi itu sedikit pun tidak mengundang kemarahan dihatinya.

Di satu sudut yang lain, Puan Fatimah hanya memerhati tingkah Huda. Ingin mencari sinar kebahagiaan pada wajah anaknya. Maklumlah perkahwinan yang diaturkannya sendiri, bimbang andai Huda tidak mengecapi kegembiraan tersebut. Dia sudah sedia maklum bahawa semalam dan hari ini Huda ditinggalkan sendiria oleh Fakrul. Tetapi dia lekas sedar bahawa Fakrul seorang jurutera yang sentiasa sibuk sengan kerja. Tanpa disedari, Huda tersenyum sendirian. Demi melihatkan keadaan itu, Puan Fatimah berasa lega. Lantas dia kembali menyibukkan diri dengan membantu mereka membersihkan pinggan mangkuk.

~~Khutbah terakhir Rasulullah~~

KHUTBAH TERAKHIR RASULULLAH.

Tarikh : 9hb. Zulhijjah Tahun 10 Hijriah

Tempat : Lembah Uranah, Gunung Arafah.

Wahai manusia, dengarlah baik baik apa yang hendakku katakan. Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini, dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanah kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Janganlah sakiti sesiapa pun, agar orang lain tidak menyakiti kamu pula.Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu, dan dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba', oleh itu segala urusan yang melibatkan riba' di batalkan mulai sekarang.

Berwaspada lah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara perkara besar, maka berjaga jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara perkara kecil.

Wahai manusia , sebagaimana kamu mempunyai hak atas para isteri kamu, mereka juga mempunyai hak di atas kamu.Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ata mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini,sembahlah ALLAH, dirikan sembahyang lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadhan,dan tunaikan zakat dan harta kekayaan kamu, kerjakan ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak saorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan Beramal Solleh.

Ingatlah, bahawa kamu akan mengadap ALLAH pada suatu hari untuk di pertanggungjawabkan di atas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku. Wahai maanusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah disampaikan kepada kamu.

Sesunguhnya, aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikut kedua keduanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya, itulah Al-Quran dan Sunnahku. hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikannya kepada orang lain, dan hendaklah orang lain itu menyampaikan pula kepada yang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang mendengar terus dariku.

Saksikan ya-ALLAH, bahawasanya telah aku sampaikan risalahMU kepada hamba hambaMU.

KRONOLOGI 13 MEI 1969


RENTETAN PERISTIWA 13 MEI 1969

~~Peristiwa 13 Mei pada tahun 1969 merupakan rusuhan kaum yang berlaku dan kemuncak masalah perpaduan di Malaysia. Tragedi ini mengakibatkan kehilangan nyawa serta harta benda dan mempunyai kaitan yang rapat dengan “Pilihan Raya Umum 1969” menjadi satu titik hitam dalam sejarah Negara Malaysia.

~~Dr. Tan Chee Khoon dari parti Gerakan telah menang besar di kawasan Batu, Selangor. Beliau meminta kebenaran polis untuk berarak meraikan kemenangan parti tersebut di Selangor yang menyaksikan 50:50 di Selangor. Di Kg. Baru diduduki lebih 30 ribu orang melayu yang menjadi kubu UMNO, berasa terancam dengan kemenangan pihak pembangkang. Di situ letaknya rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Dato’ Harun Idris.

~~Dikatakan kaum Cina yang menang telah berarak dengan mengikat penyapu pada kenderaan mereka sebagai lambing kemenangan mereka menyapu bersih kerusi sambil melaungkan slogan. Ada pula pendapat yang mengatakan penyapu tersebut sebagai lambing mereka akan menyapu (‘menyingkir’) orang Melayu ke laut.

PERARAKAN KEMATIAN CINA

~~Akibat dari rusuhan maut tersebut, kesesakan jalanraya turut berlaku.

~~Di Jinjang, Kepong, kematian Cina akibat sakit tua diarak sepanjang jalan dengan kebenaran polis. Namun perarakan kematian tersebut bertukar menjadi perarakan kemenangan pilihan raya dengan menghina melayu.

~~Pada Selasa 13 Mei, Yeoh Tech Chye selaku Presiden Gerakan memohon maaf di atas keterlanjuran ahlinya melakukan kebiadaban semasa perarakan. Yeoh menang besar di kawasan Bukit Bintang, KL. Tetapi permohonan maaf sudah terlambat.

RUMAH MENTERI BESAR SELANGOR

~~UMNO kemudiannya mengadakan perarakan balas pada pagi 13 Mei 1969 kerana terlalu beremosi dan kurang kawalan daripada kedua pihak. Perarakan ini adalah tidak dirancang.

~~Menteri Besar Selangor, Dato’ Harun Idris cuba mententeramkan keadaan apabila orang Melayu berkumpul di rumahnya. Mereka turut membawa bersama senjata seperti pedang dan parang panjang untuk mengamuk.

~~Jam 3 petang datang berita kejadian pembunuhan orang Melayu di Setapak, hanya 2 km dari rumah Menteri Besar Selangor.

~~4 petang, 2 penunggang motosikal cina yang melalui Jalan Kampung Baru telah dipancung. Sebuah van yang membawa rokok dibakar dan pemandunya dibunuh. Pemuda-pemuda Cina yang dikatakan dari PKM dan kongsi-kongsi gelap telah bertindak balas. Mereka membunuh orang-orang Melayu di sekitar KL. Mereka lengkap dengan pelbagai senjata.

~~Perintah darurat dikeluarkan apabila rusuhan semakin teruk dan tidak terkawal. Pasukan polis berkawal di sekitar KL. Tentera dan Rejimen Renjer lebih awal dikerahkan menjaga keselamatan sekitar KL.

REJIMEN RENJER

~~Pasukan Rejimen Renjer terdiri dari orang-orang melayu, Iban, Cina, Sikh, Gurkha dan lain-lain turut menembak orang Melayu dan ini menyebabkan kemarahan orang Melayu semakin meluap. Menurut laporan, ketua pasukan ini adalah berbangsa Cina.

ASKAR MELAYU

~~Akhirnya Rejimen Renjer dikeluarkan dan diganti dengan askar Melayu. Malangnya beberapa Askar Melayu turut masuk ke kedai-kedai emas Cina dan mengambil harta benda di sana.

~~Ramai orang Cina dibunuh dan dicampakkan ke dalam lombong bijih timah.

PANGGUNG ODEAN

~~Pemuda-pemuda Cina dari kongsi-kongsi gelap bertindak mengepung Panggung Odean, di Jalan Tunku Abdul Rahman, KL. Beberapa iklan disiarkan dalam bahasa Cina di skrin pawagam menyuruh penonton berbangsa Cina keluar dari panggung. Penonton Melayu di panggung tersebut ramai yang mati .



~~Seorang polis bernama Rahim yang tinggal di KL yg turut menonton wayang terkena tetakan di kepala dan berpura-pura mati. Orang-orang Melayu mula bertindak balas dan dikatakan kepala orang Cina yang dibunuh diletakkan di atas pagar.

~~Ada yang menyifatkan bahawa pergaduhan ini sebenarnya adalah pergaduhan ‘politik’ dan bukannya perkauman, kerana ia hanya terjadi selepas pilihanraya dan hanya melibatkan orang-orang Melayu dan Cina di KL sahaja.

ANGKA KORBAN

~~Angka rasmi menunjukkan 196 mati, 439 cedera, 39 hilang, dan 9,143 ditahan. 211 kenderaan musnah. Tapi ramai yang telah menganggar ramai lagi yang dibunuh.

DI MANA TUNKU?

~~Ketika itu (13 Mei), Tunku Abdul Rahman baru pulang dari Alor Setar meraikan kemenangan beliau di sana. Ada khabar angin mengatakan Tunku Abdul Rahman sedang bermain mahjung. Dalam tulisannya, Tunku menafikan hal tersebut.

~~Peristiwa 13 Mei 1969 menyebabkan Tunku dipersalahkan oleh orang Melayu dan Malaysia secara keseluruhannya. Berikutan itu, Tunku meletakkan jawatan pada tahun 1970.

~~Beberapa keputusan telah diambil bagi mencari penyelesaian termasuklah penubuhan beberapa badan seperti Majlis Perundingan Negara, Dasar Ekonomi Baru dan Rukun Negara telah dicipta.

~~Ternyata peristiwa 13 Mei merupakan kemuncak kemarahan lama orang Melayu kerana mereka miskin di tanah air mereka sendiri.

~~Tahun 1969 pilihanraya diadakan semula dan memberi kemenangan 2/3 semula kepada kerajaan yang memerintah. Barisan Nasional dibentuk. Wilayan Persekutuan KL dibentuk bagi mengurangkan pengundi Cina dalam DUN Selangor. Beberapa ahli politik yang dianggap berbahaya telah ditahan melalui Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Persempadanan pilihan raya yang lebih bijaksana dan seimbang telah dilaksanakan. Sistem demokrasi, pilihan raya dan agihan kek ekonomi (hak-hak keistimewaan bumiputera) mendapat tafsiran semula.


~~Wasiat terakhir Osama~~

~~Osama bin Laden yang dilabelkan sebagai pengganas oleh Amerika Syarikat menyatakan dalam wasiatnya bahawa dia tidak mahu anak-anaknya turut serta dalam menyertai kumpulan Al-Qaeda.

~~Osama turut memohon maaf kepada anak-anaknya kerana kebanyakan masanya dihabiskan untuk berjihad.

~~Dokumen bertarikh 14 Disember 2001 yang mempunyai sebanyak 4 halaman ditandatangani oleh Osama mula disiarkan dalam sebuah akhbar Lebanon pada tahun 2001. Namun, ia kembali disiarkan selepas kematian Osama.

~~ Osama dipercayai menulis wasiat itu selepas tragedi serangan 11 September 2001 di New York yang mengorbankan hampir 3 ribu orang.

~~Dalam dokumen itu, Osama menyatakan bahawa empat isterinya tidak sepatutnya berkahwin semula selepas kematiannya. Beliau dipercayai mempunyai anak seramai 12 hingga 24 orang.

~~Sementara itu, di Oslo, Norway Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Navi Pillay menggesa 'pendedahan penuh fakta tepat' bagi menentukan sama ada pembunuhan ketua al-Qaeda, Osama bin Laden dibuat berlandaskan undang-undang.

~~"Saya berpendirian menyokong pendedahan penuh fakta-fakta yang tepat,ia bukan sahaja untuk pejabat saya semata-mata tetapi sesiapapun berhak untuk mengetahui apa sebenarnya berlaku. PBB mengutuk keganasan tetapi ia juga memiliki peraturan tentang bagaimana aktiviti anti-keganasan sepatutnya dilaksanakan. Secara ringkas ia perlu berlandaskan undang-undang antarabangsa"~~ Navy Pillay.

Sumber : KOSMO! Jumaat 6 Mei 2011

~~Cerita seorang ibu~~

Salam Warahmatullah...

Belum terlambat kot untuk saya turut sama mengucapkan 'Selamat Hari Ibu' untuk seluruh ibu-ibu di Malaysia. Semoga anda semua dirahmati Allah. Anak-anak yang di rantauan, dah hubungi ibu anda belum? Saya cuba call mak saya dari malam tadi dan sampai sekarang ni masih belum boleh cakap dengan dia. sebab asyiklah sibuk dengan kenduri. hehe.

~~Ok lah, sempena hari ibu, saya nak cerita sikit pengalaman saya menjadi seorang ibu kepada bayi perempuan yang diberi nama Nurani Syahadah.

~~Saya mengandung seperti mana wanita yang bergelar isteri dan ibu. Saat itu terasa cukup manis sekali. Dalam sakit...ada bahagia, dalam derita...ada ketawa.

~~Saya cerita secara ringkas saja lah. takkan nak terlalu detail dalam setiap hari sepanjang 9 bulan. jenuh la saya. haha. Okey, cerita bermula sewaktu usia kandungan saya mencecah angka 7 bulan. Petua orang dulu-dulu salah satunya adalah rajin berjalan. sebabnya nanti senang nak bersalin. Hehehe. Memang petua tu yang saya ikut. Saya memang rajin berjalan. hehe.

~~Suatu hari, masa tu usia kandungan di hujung bulan yang kelapan..saya mengadu kat mak saya. kenapa saya rasa sakit di bahagian kaki. kedua-dua kaki saya terlalu sakit untuk digerakkan. untuk bangun berdiri apatah lagi, terlalu perit. tapi jawapan mak saya sedikit sebanyak melegakan hati saya. Dia kata mungkin sebab saya terlalu banyak berjalan. Jadi dia nasihatkan saya supaya banyak berehat.

~~Masuk pertengahan bulan ke sembilan, keadaan saya makin teruk. saya bergerak dengan mengheret kaki. wah sadisnya nak jadi seorang ibu ni. hehehe. kebetulan masa tu suami saya cuti, jadi dia balik jenguk saya yang dah dihantar ke kampung. dia jemput saya dari rumah mak ayah saya untuk di bawa ke rumah mertua. sebenarnya dekat je rumah kami. tak sampai 15 minit pun. hehehe.

~~Waktu maghrib kalau saya tak silap, saya ke bilik air nak ambik wudhuk. Masa tu saya solat dengan duduk atas kerusi. hehehe. siapa yg mengandung, dia fahamlah kot. Arwah mak mertua saya kebetulan basuh baju. mesin basuh dalam bilik air. dia dah cuci lantai tu bila saya nak masuk ambik wudhuk. dia siap pesan suruh hati-hati takut licin. elok je saya masuk bilik air, saya tergelincir. mujurlah sempat berpaut pada dinding bilik air. hehehe. tapi disebabkan kejadian tu, saya langsung takleh jalan.

~~begitu begini, sampai lah saat saya nak bersalin. pukul 4 pagi, saya dengar akak sebelah katil saya, menjerit2 sakit. seorang nurse datang kat dia "oh baru 4 cm" kata nurse tu. masa yang sama, saya rasa senak kat perut. dahi dah berpeluh-peluh. sakitnya hanya Allah je yang tahu. sempat lagi saya bercakap sorang2 dalam hati "ya Allah, macam ni ke nak bersalin..." tapi saya tak ada pulak menjerit sakit. hehehe. saya cuma cakap pada diri sendiri bahawa kesakitan yang saya alami tu, cuma sedikit sahaja. saya yakin mampu bertahan. sampailah saya rasa tilam saya basah...baru saya menjerit panggil nurse.

~~bila nurse datang, dia boleh tanya pulak kenapa...saya cakap saya dah sakit sangat ni. "Eh, muka awak nampak macam tak sakit pun. bersih segar je," nurse tu balas. masa tu bengang nye saya. boleh ke nurse cakap macamtu. dia tak check pun keadaan saya. tapi disebabkan 1st time nak bersalin, saya tak cakap apa-apalah. sampai pukul 6 pagi, azan subuh pun dah berkumandang, saya mengesot turun katil. kenapa ye, saya rasa kekuatan saya ada bersama waktu tu. sedangkan saya lumpuh. akak yang duduk depan katil saya perasan, dia terus tekan suis kecemasan untuk pesakit. kelam kabut nurse datang. tengok bukaan dah 6cm. kebetulan ada sorang doktor kot kat situ, dia marah nurse2 yg bertugas. nasib akak yang tolong tekan suis tu cerita perkara yg sepatutnya. hehe.

~~saya dibawa ke bilik bersalin. masa tu...saya tak ingat apa dah. hanya 'laailahaillallah' itu je yg bermain di bibir, hati, akal dan 'pandangan mata'. bila saya kembali ke alam nyata, baru saya rasa balik kesakitan kontraksi tu. nafas langsung tak terkawal. dalam bilik tu, tak ada sesiapa, hanya saya seorang. saya motivasi diri sendiri agar kawal pernafasan. hahaha. lawak pun ye jugak. pukul 8.30 pagi, beberapa budak pelatih masuk. saya tak pasti siapa yang pegang tangan saya. saya cuma yakin dia seorang perempuan bertudung labuh, sopan dan cantik.

~~ringkasnya, tepat jam 9.03 minit pagi, saya selamat melahirkan bayi perempuan. masa proses jahitan, saya nampak doktor ambik ubat bius. wahh boleh pulak saya suruh dia letak bius banyak2. memang bagus doktor ni, dia ikut apa yang saya cakap. haha.sampaikan masa dia jahit tu, saya tak rasa apa-apa. boleh pulak tertidur.

~~oklah, tu je cerita cincai mengenai saya seorang ibu. hehehe. layan jelah ye.

~~Perawat ISLAM, perlukah bersentuhan kulit dengan pesakit?~~

Salam warahmatullah

~~Hurm 2,3 hari ni sibuk je mengisahkan hal Osama dibunuh. Sampaikan terlupa tentang isu dalam Negara sendiri. Hehe.

~~Oklah, tadi terfikir-fikir nak buat entri apa…dan dapatlah satu topik yang agak menarik iaitu etika seorang perawat Islam.

~~Dah nama pun perawat Islam, dan menggunakan nama ISLAM mestilah kita menganggap bahawa perawat tersebut menggunakan landasan yang betul sebagai perawat Islam.

~~Antara etika sebagai perawat Islam, mestilah berpakaian sopan. Tak kiralah perawat atau pesakit. Tapi macam mana pula kalau pesakit kena hysteria secara tiba-tiba dan waktu tu dia berpakaian agak seksi? Hehehe. Jadi, ni mungkin jatuh berat kepada perawat. Perawat perlu menyelimutkan pesakit dengan kain sehingga tidak nampak susuk tubuh pesakit.

~~Selain bersifat lemah lembut dengan pesakit, perawat juga dinasihatkan agar TIDAK MENYENTUH atau PEGANG BAHAGIAN SULIT PESAKIT atau YANG BERDEKATAN DAN SEUMPAMANYA walaupun JIN mendakwa duduk di situ. Saya rasa sangat jelas penerangan yang singkat tu. Yelah, dah nama pun perawat ISLAM, perlulah mengikuti landasan ISLAM, betul tak? Hehe.

~~ Ada juga mereka berbahas mengenai perkara yang saya highlightkan tu. “siapakah kita untuk menjatuhkan hukum” wah salah satu ayat yang selalu kita dengar kan. Haha ayat bidasan namanya tu. Siapakah kita? Kita adalah manusia. Apakah peranan manusia? Peranan manusia ialah sebagai khalifah di muka bumi. Kenapa Allah jadikan manusia sebagai khalifah? Sebabnya manusia diberi otak yang sama seperti haiwan tetapi ditambah dengan akal.

~~ Akal itulah yg sangat istimewa. Allah menjatuhkan hukum HARAM pada mereka yang bukan muhrim bersentuhan kulit. Jadi, fikirkanlah dengan teliti, masih banyak cara lain yang boleh digunakan. Apa guna akal yang diberi kalau tak boleh berfikir.

~~Baiklah, saya ni tak pandai sangat bab merawat ni. bukan bahagian saya lagipun. Hehhe. Tapi saya nak tegaskan, pada mereka-mereka yang berkenaan, ingat satu pesanan…andai kamu mempermainkan hukum ALLAH, maka samalah seperti kamu mempermainkan ALLAH…

~~Ayman Al-Zawahiri: Ketua baru al-Qaeda~~

~~Setelah tersebarnya desas-desus tentang kematian pemimpin tertinggi al-Qaeda, Osama bin Laden dalam serangan yang dilakukan oleh Amerika Syarikat di Abbottabad, maka banyaklah spekulasi yang timbul dalam isu pengganti Osama sebagai pucuk pimpinan tertinggi organisasi al-Qaeda.

~~Beberapa nama telah muncul sebagai calon pengganti Osama bin Laden. Salah satunya termasuklah Ayman al-Zawahiri. Secara tidak langsung, beliau telah dilantik menjadi pemimpin tertinggi al-Qaeda sekaligus menggantikan tempat Osama bin Laden.

~~Sekilas pandang melalui latar belakang al-Zawahiri, beliau merupakan seorang ahli bedah mata yang membantu mendirikan kelompok militant Jihad Islam Mesir.

~~Beliau menjadi ketua perancang al- Qaeda dan dipercayai oleh beberapa orang ahli telah menjadi ‘otak perancang’ di sebalik serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat.

~~Zawahiri merupakan orang yang berada di tangga kedua selepas Osama bin Laden dalam senarai 22 ‘penjenayah’ dikehendaki yang telah diumumkan oleh pemerintah Amerika Syarikat pada tahun 2001 dan hadiah yang dijanjikan oleh AS melonjak naik hingga mencapai $25 juta untuk kepalanya!.

~~Zawahiri dilaporkan kali terakhir dilihat di kota Khost Afghanistan timur pada bulan Oktober 2001, dan bersembunyi setelah pimpinan Amerika menggulingkan Taliban.

~~Dia dianggap bersembunyi di daerah pergunungan di sepanjang perbatasan Afghanistan-Pakistan dengan bantuan suku-suku tempatan yang simpatik.

~~Dia juga telah didakwa di Amerika Syarikat kerana peranannya dalam pengeboman kedutaan Amerika Syarikat di Afrika pada tahun 1998, dan dihukum mati di Mesir secara in absentia untuk kegiatan yang terkait dengan jihad Islam pada tahun 1990an.

~~Melihat kepada wajah beliau yang kelihatan sedikit lembut dari pemimpin terdahulu, Osama bin Laden yg sedikit bengis, sangat bersesuaian dengan sifat Ayman Al-Zawahiri sebagai ketua ‘berhati mulia’ apabila dia tidak mahu membalas serangan yang dilakukan Amerika Syarikat. Dia menasihati pengikutnya agar bersifat sabar dan tidak membalas dendam yang hanya akan mengorbankan banyak nyawa manusia yang tidak berdosa.

~~Zawahiri menyifatkan kematian Osama sebagai mati syahid.

Sumber : http://www.voa-islam.com

KOSMO! Rabu 4 Mei 2011

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com