~~cinta suci balqis (bab enam)~~


BAB ENAM

Perjalanan ke Sungai Congkak mengambil masa kira-kira dua jam setengah dari Putrajaya apabila terpaksa berhadapan dengan kesesakan lalu lintas. Keadaan di dalam kereta Fakrul tenang dengan iringan lagu-lagu berentak jazz. Sesekali Fakrul memandang ke arah isteri dan anaknya yang terlena di kerusi belakang. Mungkin mereka letih. Maklumlah sejak kebelakangan ini, Leya sering terjaga antara pukul tiga pagi dan kembali tidur apabila hari hampir subuh. Kalau dibiarkan berjaga sendirian, pasti si kecil akan menangis. Mahu tidak mahu, isterinya jugalah yang terpaksa melayan kerenah anaknya. Kadang-kadang naik kagum Fakrul dengan isterinya. Sudahlah penat bekerja disiang hari, malam pula tidur hanya sebentar, terpaksa melayan si kecil bermain. Satu pekerjaan yang amat jarang sekali golongan suami akan bekerjasama dengan isteri. Fakrul hanya sesekali akan bangun bermain dengan Leya apabila melihat keadaan Huda yang terlalu letih.

Huda hanya terjaga daripada tidur apabila Fakrul memberhentikan keretanya di stesen Petronas. Mungkin mahu membeli sesuatu. Atau mungkin juga mahu membuang air. Huda merenggangkan otot-otot badannya. Agak letih apabila tidur di dalam kereta. Dia melihat Leya lalu dikucupnya dahi si kecil dengan penuh kasih. Leya bergerak-gerak sedikit. Dia membuka matanya perlahan menatap wajah ibunya. Mata yang sedikit kemerahan kembali dirapatkan setelah menghadiahi ibunya segaris senyuman. Keletihan yang membelenggu Huda segera hilang setelah mendapat penawar daripada anaknya. Itulah yang dikatakan anak penyeri rumahtangga. Segera dia teringat kata-kata arwah ayahnya. “Anak yang halal adalah anak yang dilahirkan bersama dengan makrifatullah seorang ibu.” Huda hanya menganggukkan kepalanya tanda faham. Walaupun ayahnya sering tinggalkan dia dan ibunya, namun setiap kali pulang, pasti akan dihadiahi dengan kata-kata nasihat yang amat penting. Baru kini dia faham akan kata-kata arwah ayahnya setelah dia bergelar seorang ibu. Biarpun sewaktu melahirkan Leya, tiada seorang pun yang datang menemani, namun dia tetap ada Allah yang sentiasa memenuhi setiap rongga tubuhnya.

Keadaan di stesen Petronas agak lengang. Hanya beberapa buah kenderaan sahaja yang datang menyinggah. Itupun disebabkan mahu memenuhi tangki minyak yang hampir kosong. Huda masih menunggu kedatangan suaminya. Entah apalah yang dibuat suaminya. Keluar dari kereta langsung tidak dikejutkan Huda. Mujurlah dia terjaga dan sempat mengunci pintu kereta daripada dalam. Hanya beberapa minit kemudian barulah dia ternampak kelibat suaminya tetapi dengan seorang wanita. Seolah-olah sedang membincangkan sesuatu yang serius antara mereka berdua. Namun sebagai seorang yang profesional, Huda hanya membiarkan sahaja keadaan itu. Dia kenal Amira berdasarkan cerita daripada suaminya dan juga Azril kawan rapat Fakrul. Mungkinkah wanita itu masih mahu mengganggu hidup suaminya. Sekiranya itu berlaku, dia tidak hairan kerana dia tahu perangai suaminya. Sehingga kini suaminya tidak berlaku curang terhadapnya.

Fakrul sedikit kaget apabila melihat Huda sedang memerhatikan mereka berdua dari dalam kereta. Dia bimbang andai isterinya tidak memahami situasinya. Namun perasaan itu hilang apabila melihat Huda tersenyum. Fakrul segera meninggalkan wanita tersebut. Langkahnya laju kea rah kereta Honda hitam miliknya.

“Sayang… abang mintak maaf,” Fakrul menutur kata sebaik sahaja masuk ke dalam keretanya. Dia memusingkan badannya menghadap ke belakang. Dia merenung mata isterinya. Langsung tiada riak marah ataupun sakit hati dengan situasi sebentar tadi.

“Tak ada apalah, abang. Saya faham keadaan abang macam mana. Sebelum ni pun abang dah cerita kat saya, kan? So, tak ada apa-apalah. Saya tahu perangai abang macam mana. Jangan risaulah. Hal tu dah lepas pun,” Huda membalas. Kata-katanya lebih kepada pujukan. Dia tahu suaminya amat berasa serba-salah dengan situasi sebentar tadi. Kalau mahu ikutkan hati, memang dia agak sedih, namun itu bukanlah salah suaminya.

“Betul ke, sayang tak kisah? Abanng pun tak sangka boleh jumpa dia kat sini. Abang tak ada niat langsung nak sakitkan hati sayang. Abang mintak maaf banyak-banyak.”

“Sudahlah abang, hal dah lepas pun. Bukan boleh patah balik. Sekarang ni, hal yang belum lepas lagi, Sungai Congkak. Saya tak nak patah balik,” Huda berseloroh. Dia cuba menceriakan keadaan yang hampir merosakkan mood mereka berdua. Sudahnya mereka sama-sama ketawa. Sudah lupa tentang Leya yang sedang nyenyak tidur. Leya sedikit merengek apabila tidurnya terganggu. Segera pasangan suami-isteri itu memperlahankan suara.

Fakrul kembali memulakan pemanduan keluar daripada stesen Petronas. Dia memandu secara berhati-hati biarpun kenderaan beransur kurang di jalan raya. Sesekali dia memandang ke belakang. Isterinya sedang mengelamun. Bimbang isterinya memikirkan tentang kejdian tadi, segera dia memecahkan tembok kesunyian antara mereka.

(IMBAS KEMBALI)

Hari bahagia yang sering diungkapkan oleh pasangan yang baru berkahwin telah pun berlalu. Namun hari bahagia tersebut bukanlah hari kegembiraan buat Huda. Hari yang sepatutnya pasangan akan bersanding hanya disambut dengan majlis doa selamat dari pihak keluarga Huda. Mujurlah juga orang-orang kampung tidak banyak bertanya. Mungkin disebabkan mereka memahami letak kedudukan kewangan keluarga Huda. Pengantin lelaki hanya datang sebentar sahaja. Selesai majlis tahlil dan bacaan doa, tanpa menjamah makanan, Fakrul terus meluru keluar. Dia meninggalkan majlis dengan menaiki keretanya tanpa sempat ditahan. Sudahlah hari pernikahan mereka semalam, dia melakukan perkara tersebut. Hari ini masih melakukan perkara yang sama. Sememangnya Fakrul langsung tidak mahu menatap wajah isterinya. Gambar yang diberikan oleh Datin Salina entah dimana dia letakkan. Yang pasti bukan di dalam tong sampah. Mujur juga penduduk kampung yang hadir tidak perasan akan keadaan tersebut.

Di dalam kereta mewah Honda hitam, Fakrul tersenyum sendirian. Puas hatinya dapat melarikan diri daripada majlis yang membuatkan dirinya gelisah kebelakangan ini. Mujur alasan yang diberikannya dapat diterima pakai oleh Datuk Shakir. Ada mesyuarat penting!

Perjalanan bertolak dari Pahang ke Kuala Lumpur mengambil masa hampir empat jam. Fakrul sengaja melalui jalan yang berbengkang-bengkok yang di panggil Bukit Putus walaupun telah terdapat jalan raya yang baru. Di kiri dan kanan jalan dinaungi dengan rimbunan pohon-pohon hijau. Begitu mendamaikan. Tambahan pula, waktu itu kenderaan kurang lalu lalang. Hanya beberapa buah lori sahaja yang membuatkan keadaan jalan raya kurang lancar. Maklumlah keadaan jalan yang berbengkang-bengkok membuatkan penghuni kenderaan lebih berhati-hati. Silap langkah, pasti maut mengundang kerana hampir sepanjang perjalanan penghuni kenderaan ditemani dengan jurang yang agak dalam. Tahu sahajalah kawasan bukit yang dijadikan jalan raya.

Manakala keadaan di rumah Huda masih riuh dengan para tetamu yang hadir. Huda langsung tidak menghiraukan dengan ketiadaan suaminya. Malah hatinya lebih tenang sekiranya lelaki tersebut tiada di sisinya. Semalam juga begitu. Malamnya hanya dia seorang diri. Tetap seperti anak dara biasa. Cuma yang berbeza kini, dia adalah seorang isteri kepada seorang lelaki yang langsung tidak dikenali hati budinya. Malah dari penglihatannya semalam, usai akad nikah, suaminya seolah-olah tidak mahu langsung memandang wajahnya. Namun situasi itu sedikit pun tidak mengundang kemarahan dihatinya.

Di satu sudut yang lain, Puan Fatimah hanya memerhati tingkah Huda. Ingin mencari sinar kebahagiaan pada wajah anaknya. Maklumlah perkahwinan yang diaturkannya sendiri, bimbang andai Huda tidak mengecapi kegembiraan tersebut. Dia sudah sedia maklum bahawa semalam dan hari ini Huda ditinggalkan sendiria oleh Fakrul. Tetapi dia lekas sedar bahawa Fakrul seorang jurutera yang sentiasa sibuk sengan kerja. Tanpa disedari, Huda tersenyum sendirian. Demi melihatkan keadaan itu, Puan Fatimah berasa lega. Lantas dia kembali menyibukkan diri dengan membantu mereka membersihkan pinggan mangkuk.

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com