~~KISAH PARA WALI (Hasan Dari Basrah)

HASAN DARI BASRAH

~~Hasan bin Abil Hassan al-Basri lahir di Kota madinah pada tahun 21H/642M. dia adalah putera dari seorang hamba yang ditangkap di Maisan, kemudian menjadi penolong kepada pembantu Nabi Muhammad, Zaid bin Tsabit.

~~Hassan meninggal dunia di Kota Basrah pada tahun 110H/728M.

HASAN AL-BASRI BERTAUBAT

~~Pada mulanya Hasan adalah seorang penjual batu permata, kerana itu dia digelar sebagai Hasan si pedagang mutiara. Hasan mempunyai hubungan perdagangan dengan Bizantium, kerana itu dia berhubung rapat dengan para jeneral dan menteri Kaisar. Dalam sebuah peristiwa ketika pergi ke Bizantium, Hasan mengunjungi perdana menteri dan mereka berbincang beberapa saat.

~~”Jika engkau suka, kita akan pergi ke sesuatu tempat,” menteri itu mengajak Hasan.

~~”Terpulang kepadamu,” jawab Hasan. “ Ke mana pun jua aku menurutnya.”

~~Menteri itu memerintahkan agar disediakan seekor kuda untuk Hasan. Menteri naik ke belakang kudanya, Hasan pun melakukan perkara yang serupa, setelah itu mereka berangkat menuju padang pasir. Sesampainya ke tempat yang dituju, Hasan melihat sebuah khemah yang dibuat daripada brokat Bizantium, diikat dengan tali sutera dan dipancang dengan tiang emas di atas tanah. Hasan berdiri jauh darinya.

~~Tidak berapa lama kemudian, muncul sepasukan tentera yang cukup dengan kelengkapan perang. Mereka lalu mengelilingi khemah tersebut, mengucapkan beberapa patah perkataan sebelum pergi. Setelah itu muncul pula ahli falsafah dan cerdik pandai yang hampir empat ratus orang jumlahnya. Mereka mengelilingi khemah itu dan mengucapkan beberapa patah perkataan lalu meninggalkannya. Hasan berasa hairan menyaksikan kejadian-kejadian itu dan bertanya kepada dirinya sendiri, “apakah itu semua?”

~~Hasan bertanya kepada perdana menteri. Menteri itu menjawab bahawa dahulu Kaisar mempunyai seorang putera yang tampan menguasai pelbagai cabang ilmu pengetahuan dan tidak seorang pun dapat menandinginya. Kaisar sangat sayang kepada puteranya itu. tanpa diduga-duga, puteranya jatuh sakit. Semua tabib walau bagaimana mahir sekalipun tidak mampu menyembuhkan penyakitnya di bawah khemah tersebut. Setiap tahun orang ramai datang menziarahi kuburnya.

~~Sepasukan tentera yang mula-mula mengelilingi khemah tersebut berkata “Wahai putera mahkota, seandainya malapetaka yang menimpa dirimu ini terjadi di medan pertempuran, kami semua akan mengorbankan jiwa raga kami untuk menyelamatkanmu. Tetapi malapetaka ini datangnya dari DIA yang tidak sanggup kami perangi dan tidak dapat kami tentang,” setelah itu mereka pun berlalu dari tempat itu.

~~Kemudian tibalah giliran ahli falsafah dan cerdik pandai. Mereka berkata: “ Malapetaka yang menimpa dirimu ini malapetaka dari DIA yang tidak dapat kami lawan dengan ilmu pengetahuan, falsafah dan juga tipu muslihat. Kerana semua falsafah di muka bumi ini tidak berdaya menghadapiNYA dan semua cerdik pandai hanya seperti orang-orang dungu di hadapanNYA. Jika tidak demikian halnya, kami akan berusaha mengajukan dalih-dalih yang tidak dapat dibantah oleh sesiapapun di alam semesta ini.” setelah berucap demikian para falsafah dan cerdik pandai itu pun berlalu dari tempat tersebut.

~~Akhir sekali Kaisar berserta perdana menterinya masuk ke dalam khemah tersebut dan berkata :”wahai biji mata dan pelita hati ayahanda! Apakah yang dapat dilakukan oleh ayahanda ini? ayahanda telah datangkan sepasukan tentera yang perkasa, para ahli falsafah dan cerdik pandai, para penasihat, wanita-wanita yang cantik jelita, harta benda dan pelbagai barang berharga, dan ayahanda sendiri pun telah datang. Jika ini semua ada faedahnya, maka ayahanda sendiri yang akan melakukan sesuatu. Tetapi malapetaka ini telah ditimpakan kepadamu oleh DIA yang tidak dapat dilawan oleh ayahanda. Semoga engkau mendapat kesejahteraan, selamat tinggal sampai tahun akan datang.” Kemudian Kaisar berlalu pergi dari tempat itu.

~~Cerita menteri ini sangat memberi kesan di hati Hasan. Ia tidak dapat melawan dorongan hatinya. Dengan segera dia bersiap-siap untuk kembali ke negerinya. Sesampainya di Kota BAsrah dia bersumpah tidak akan tertawa lagi di atas dunia ini sebelum mengetahui dengan pasti bagaimana nasib yang akan dihadapinya nanti. Dia melakukan segala macam kebaktian dan disiplin diri yang tidak dapat ditandingi oleh sesiapapun pada masa hidupnya.

Bersambung…nantikan tajuk seterusnya “Hasan Dari Basrah dan Abu Amr”

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com