SINAR DAN KUASA KHULAFA AR-RASYIDIN (Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

SINAR DAN KUASA KHULAFA AR-RASYIDIN (Saidina Abu Bakar As-Siddiq)

~~Abu Bakar as-Siddiq ialah khalifah pertama dari tahun 632-634M. beliau pada awalnya digelar Abdul Kaabah (Hamba Kaabah) tetapi selepas pengislamannya, beliau menukar namanya kepada Abdullah.

~~Nama beliau sentiasa digelar Abu Bakar (daripada perkataan Arab, Bakar yang bermaksud unta muda) kerana beliau amat gemar menternak unta.

~~Beliau amat terkenal dengan gelaran as-Siddiq (yang membenarkan). Nama sebenar beliau ialah, Abdullah ibni Abi Quhaafah.

~~Selain itu, Abu Bakar juga merupakan lelaki pertama yang memeluk Islam. Pengorbanan dan keberanian beliau tercatat dalam sejarah, bahkan juga di dalam al-Quran:

~~Jika kamu menolong Nabi, sesungguhnya Allah telah menolongnya, ketika orang-orang kafir mengusirnya sebagai orang kedua dari dua orang (seorang lagi Abu Bakar) ketika keduanya dalam gua (bukit Thur), ketika dia berkata kepada sahabatnya: Janganlah engkau takut sesungguhnya Allah bersama kita. Lalu Allah menurunkan ketenangan di atas dirinya dan menguatkannya dengan bala tentera yang tidak kamu lihat (malaikat) dan Allah menjadikan perkataan orang-orang kafir terbawah dan perkataan Allah tertinggi dan Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.

(At-Taubah, ayat 40)

KEBERANIANNYA

~~Saidina Abu Bakar merupakan sahabat Nabi Muhammad S.A.W yang paling rapat dengan baginda.

~~Semasa Nabi berhujarah dari Mekah ke Madinah pada tahun 622M, hanya beliau seorang yang mengikuti Rasulullah tanpa ditemani oleh orang lain.

~~Rasulullah mengahwini anak perempuan beliau iaitu Saidatina Aisyah tidak lama selepas penghijrahan ke Madinah berlaku.

~~Pernah menjadi kaya dan beliau juga sentiasa dikenang kerana jasanya membebaskan beberapa hamba yang beragama Islam daripada tuan mereka yang kafir termasuklah Bilal bin Rabah.

~~Abu Bakar As-Siddiq dipilih oleh sahabatnya dengan sebulat suara. Beliau adalah salah seorang di antara 10 sahabat Nabi yang mendapat jaminan ke syurga.

~~Rasulullah bersabda :

~~Tidak aku membicarakan tentang Islam kepada seseorang, melainkan ia menolak dan membantah perkataanku kecuali Ibnu Abu Quhaafah. Maka sesungguhnya aku tidak pernah mengatakan tentang sesuatu kepadanya kecuali ia menerima dengan teguh di atasnya.

(HR. Abu Nuaim, Ibnu Asakir)

MEMBEBASKAN AHLI SYURGA

~~Bilal bin Rabah adalah seorang hamba abdi berkulit hitam. Dia adalah di antara tujuuh orang yang pertama memeluk Islam meskipun diancam oleh orang kafir Quraisy yang tidak menyukai kedatangan agama baru itu.

~~Apabila tuannya mengetahui pengislaman Bilal, dia telah diseksa dengan dipakaikan baju besi, kemudian dijemur di padang pasir yang amat panas.

~~Ketika ditanya tentang pegangan agamanya, Bilal tetap mengatakan “Ahad! Ahad! (Allah yang Esa)”

~~Imannya tidak bergoncang sedikitpun. Apabila melihat tiada perubahan pada diri bilal, seksaannya ditambah lagi sehingga menjadi lebih berat.

~~Sebiji batu besar diletakkan di atas badannya, lalu dijemur di padang pasir di bawah terik matahari.

~~Apabila Abu Bakar as-Siddiq diberitahu tentang seksaan tersebut, dia terus berjumpa Umaiyah yang sedang menyeksa Bilal lalu meminta Bilal dibebaskan.

~~Sebagai pengganti, Abu Bakar menyerahkan seorang hamba berkulit hitam yang lebih kuat sebagai tebusan.

~~Sebaik sahaja ditebus, Abu Bakar terus memerdekakan Bilal dan membebaskannya dari perhambaan.

MENJADI KHALIFAH

~~Semasa Rasulullah sedang sakit tenat, baginda mengarahkan supaya Saidina Abu Bakar mengimamkan solat kaum muslimin. Selepas kewafatan Nabi, sebuah majlis yang dihadiri oleh golongan Ansar dan Muhajirin ditubuhkan untuk melantik seorang Khalifah bagi memimpin umat Islam.

~~Hasil dari perjumpaan itu, Saidina Abu Bakar dilantik dan menjadi khalifah pertama umat Islam.

~~Perlantikan Saidina Abu Bakar mendapat tentangan daripada beberapa orang yang ingin melantik Saidina Ali bin Abi Talib sebagai khalifah kerana Saidina Ali merupakan menantu dan anak saudara Rasulullah.

~~Golongan Syiah yang merupakan golongan daripada keluarga Bani Hashim menentang perlantikan Saidina Abu Bakar.

~~Tentangan itu tamat setelah Saidina Ali membai’at Saidina Abu Bakar.

MEMIMPIN PERANG RIDDAH

~~Masalah mula timbul apabila Saidina Abu Bakar dilantik menjadi Khalifah. Masalah tersebut menggugat kestabilan dan keamanan kerajaan Islam.

~~Banyak puak Arab memberontak dan menentang perlantikan Khalifahnya. Sesetengah daripada mereka enggan membayar zakat, manakala ada juga yang kembali kepada menyembah berhala dan mengikut tradisi lama mereka.

~~Puak-puak itu mendakwa bahawa mereka hanya menurut perintah Rasulullah dan memandangkan Rasulullah telah wafat maka mereka tidak perlu lagi mengikut ajaran Islam dan mereka telah bebas.

~~Saidina Abu Bakar menegaskan bahawa mereka bukan sahaja menyatakan taat sembah kepada seorang pemimpin malah mereka kini tergolong dalam golongan muslim.

~~Ada di antara mereka mendakwa mereka ialah nabi dan rasul. Bagi menumpaskan penghinaan dan perbuatan murtad itu, Saidina Abu Bakar melancarkan peperangan terhadap golongan yang digelar golongan RIDDAH.

~~Maka bermulalah Perang Riddah. Antara orang yang mengaku menjadi nabi ialah Musailamah. Khalid al-Walid berjaya menumpaskan Musailamah dalam suatu pertempuran.

EKSPEDISI KE UTARA

~~Setelah berjaya mengurangkan golongan Riddah, Saidina Abu Bakar menghantar panglima-panglima perang Islam ke utara untuk memerangi Byzantine (Rom Timur) dan Empayar Parsi.

~~Khalid al-Walid berjaya menawan Iraq hanya dalam satu kempen ketenteraan. Beliau juga menempuh kejayaan dalam beberapa ekspedisi ke Syria.

~~Menurut seorang orientalis barat, kempen Saidina Abu Bakar hanyalah lanjutan daripada Perang Riddah.

~~Perkara itu dijelaskan salah kerana golongan Riddah terletak di selatan Semenanjung Arab bukannya di utara.

MENGUMPUL AYAT AL-QURAN

~~Menurut ahli sejarah Islam, selepas Perang Riddah ramai orang yang mahir menghafal al-Quran terbunuh.

~~Saidina Umar al-Khattab meminta Saidina Abu Bakar mula menjalankan aktiviti pengumpulan semula ayat-ayat al-Quran.

~~Saidina Uthman bin Affan kemudiannya melengkapkan aktiviti pengumpulan al-Quran semasa beliau menjadi khalifah.

~~Saidina Abu Bakar wafat pada 23 Ogos 634M di Madinah iaitu dua tahun selepas menjadi Khalifah. (Ada yang mengatakan disebabkan keracunan dan ada pula pendapat mengatakan beliau meninggal dunia secara normal)

~~Sebelum kewafatannya, Saidina Abu Bakar menggesa masyarakat menerima Saidina Umar al-Khattab sebagai khalifah yang baru.

~~Saidina Abu Bakar dikebumikan di sebelah makam Nabi Muhammad SAW di Masjid Nabawi yang terletak di Madinah.

(Sumber: Insan Mulia di Sisi Rasulullah

Dr. Khairul Ghazali, MS.i)

1 comment:

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com