~~Titisan Air Mata Kerana Allah (Pelacur Kampung)~~

KISAH TAUBAT TIGA GADIS PELACUR DAN PELACUR-PELACUR KAMPUNG YANG LAIN

~~Said ibnu ‘Amir meriwayatkan bahawa Hasan Abu Jaafar telah berkata:

~~”Luqman al-Habsyi adalah seorang hamba milik seorang lelaki. Lelaki itu telah membawa Luqman ke pasar untuk menjualnya. Setiap kali orang ramai datang hendak membelinya, Luqman bertanya kepada mereka:

~~”Apa yang tuan akan perlakukan untuk saya nanti?”

~~Masing-masing menjawab: “Aku boleh lakukan itu…dan ini…” jawab mereka.

~~Akhirnya Luqman berkata: “Hajat saya pada tuan, lebih baik tuan jangan membeli saya”

~~Lama-kelamaan datanglah seorang lelaki lain lalu bertanya: “Apa yang tuan akan perlakukan untuk saya nanti?”

~~”Aku akan jadikan engkau pengawal anjing di rumahku,” jawab orang itu.

~~”Kalau begitu, tuan belilah saya,” ujar Luqman.

~~Akhirnya orang itu membeli Luqman dan membawanya pulang ke rumah. Tuannya yang baru ini mempunyai tiga orang anak gadis dan ketiga-tiganya amat terkenal sebagai pelacur. Masyarakat di dalam kampung itu amat mengenali mereka. Kini, tuannya yang baru ingin keluar dari rumah kerana mahu menyelesaikan urusan seharian. Beliau berkata kepada Luqman:

~~”Aku telah pun menyediakan untuk mereka makanan dan apa-aa yang mereka hajati. Jadi apabila aku telah keluar nanti, maka engkau kuncilah pintu ini dan engkau duduklah di belakangnya. Jangan sesekali engkau buka pintu ini sehingga aku pulang”.

~~Setelah tuannya keluar, ketiga-tiga anak dara itu pun datang dan berkata kepada Luqman: “ Ayuh buka pintu tuu!!”

~~Luqman tidak mengendahkan permintaan mereka. Akhirnya ketiga-tiga anak gadis itu terus menghempuk Luqman sehingga berdarah mukanya. Luqman kemudiannya pergi membasuh darah yang mengalir, selepas itu dia kembali dan duduk semula di hadapan pintu tadi.

~~Tidak berapa lama kemudian, tuannya pulang. Luqman tidak memberitahu kepada tuannya terhadap apa yang berlaku. Selepas itu, tuannya bersiap-siap untuk keluar semula. Sebelum itu dia berpesan:

~~”Aku telah pun memberi mereka apa-apa yang mereka hajati. Oleh itu, jangan sesekali kamu buka pintu ini apabila mereka suruh kamu membukanya nanti!”

~~Setelah tuannya keluar, ketiga-tiga anak gadis itu pun datang dan berkata kepadanya: “Ayuh buka pintu ini!!”

~~Namun Luqman tetap enggan menurut perintah mereka dan tidak membuka pintu tersebut. Akhirnya ketiga-tiga gadis itu menghempuknya dengan sepuas-puas hati. Kemudian kembali semula ke bilik masing-masing. Luqman tetap berada di situ.

~~Apabila tuannya pulang, dia tidak memberitahu kepadanya terhadap peristiwa yang telah berlaku. Akhirnya gadis yang sulung berkata: “Apa kena dengan si hamba Habsyi itu? nampaknya dia lebih mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini, aku bertaubat kepadaNYA!”

~~Kemudian, gadis yang bongsu pula berkata: “nampaknya si hamba Habsyi dan kakak aku itu telah mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini aku akan bertaubat.” Akhirnya gadis yang bongsu ini turut bertaubat.

~~Manakala gadis yang tengah pula, apabila melihat kedua-dua adik-beradiknya bertaubat, dia pun berkata pada dirinya: “Nampaknya si hamba Habsyi dan kedua adik-beradikku lebih mentaati Allah berbanding diriku. Demi Allah! Mulai hari ini aku akan bertaubat.”

~~Sementara itu para pelacur kampung yang lain apabila melihat keadaan itu, akhirnya mereka pun turut bertaubat kepada Allah dan mereka kemudiannya tersenarai sebagai ahli ibadat di desa tersebut.”

2 comments:

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com