~~Selingkar Kasih_REM~




Seharusnya cinta ini bisa berdiri,
Sebagai sebuah istana megah,
Menjadi persinggahan mahkota hati,
Melambang kebahagiaan kita.

Seharusnya cinta kita bisa tersenyum,
Seolah seorang puteri ayu,
Akan menjadi idaman mahkota hati,
Lambang pengorbanan kita yang suci.

Tetapi selingkar oh kasihmu,
Telah terurai meragut,
Dan menyayat hati ini jua,
Masih lagi selingkar kasihmu,
Yang menghantui prasedar,
Dan meragut rindu daku jua,
Oh...

Kepastian yang ku nanti,
tetap engkau masih mencari,
Cinta yang lain,
Bukan diriku...

*** 
(Makna Lirik)

  • Secara keseluruhannya, lagu ini menceritakan tentang Cinta. Bagaimana sebuah cinta itu didustai dan bagaimana pula sebuah cinta itu menjadi sebuah pengharapan dan penantian. Seharusnya cinta itu merupakan satu perkara yang menjadi sebuah peneguhan rindu yang hakiki, peneguhan cinta yang jitu dan peneguhan diri yang tetap, kerana cinta itu berkaitan dengan hati dan pastilah melahirkan sebuah kebahagiaan yang bisa membuat kita tenang setelah jiwa itu mengenal Cinta.


  • Apabila roh dan jasad telah berganding dalam mencari Cinta Ilahi, maka bergemerlapanlah seluruh alam menyaksikan Jamal Allah. Sungguh, itulah idaman setiap hati yang telah memiliki Cinta. Namun, sudah lumrahnya alam, sesuatu yang manis memerlukan sebuah pengorbanan.


  • Sesungguhnya diri jasad itu memang terkenal dengan sifat yang amat menyintai dunia bahkan melebihi cintanya sehingga menutupi rasa kasih suci. Putik kasih hancur akibat jasad yang masih mengejar dunia walaupun dalam diam tanpa sedar.


  • Bukalah hati, bahawasanya Dia itu tidak pernah mendustai cintaNya, Dia itu tidak pernah menodai cintaNya. Lantas, jika Dia setia, bagaimana Cinta itu lenyap dalam Diri? HAMBA penyebabnya. Kitalah Sang Hamba yang sering menodai putik hubungan itu. Kerana keyakinan yang tidak utuh dalam diri (Iman goyah), sering berlaku penolakan secara diam. Lalu, ikatan yang tidak terlalu kuat menjadikan kita berpaling daripada jalanNya. Sesungguhnya, kitalah yang amat rugi kerana telah mendapat petunjuk terus daripadaNya, namun cuba menidakkannya dan menolak kebenaran. Tersesatlah kita selamanya dan tidak ubah kita sebagai bangsa kafir yang mencari Tuhan selain Allah. 


~~Puisi:: kehidupan~~


Umpama mencari benih,
Letaknya harum di dalam kasih,
Tersemai cantik cahaya memutih,
Belum tercapai terasa jerih,
Sudah dimiliki bertambah kasih.

Kasih dalam sedalam lautan,
Lautan api tanding taranya,
Mengapa hasrat tiada kesampaian,
Mungkinkah masih kurang cintanya,
Ataupun cintaku sekadar buatan.

Ku renung malam kabus berjerebu,
Asap hitam memenuhi relungku,
Terasa diri hilang sesuatu,
Apakah dia, tiada ku tahu,
Hadirnya iman terus membantu,
Mencari jawapan jauh berbatu,
Tiada ku sangka akhirnya ku bertemu.

Nisfu Syaaban telah pergi,
Segala amalanku mungkinkah diterima,
Kerana hati ini terasa mati,
Bagai tiada berbalas jasanya.

Akulah hamba buruk pekerti,
Mempunyai jiwa tetapi mati,
Bunuh sahaja diri ini,
Agar ku temu cinta hakiki.

Ilham datang bertali arus,
Namun aku hanyalah manusia,
Perit ditekak terasa haus,
Umpama menambah umur nan senja.

~~sofya hamid~~


~~Di sebalik "Ranjang Mawar" _Wings~~



Kerana dia aku menangis,
Tanggalkan sisa kewarasanku,
Rela melepaskan kemudi di tangan,
Di kala ribut datang mendera Samudera.

Kerana dia aku menangis,
Padamkan gaya dan perasaan,
Sanggup memutus pertalian diri,
Kepada dia selain ku damba.

Ku tenggelam dalam rindu,
Tidak berdasar dan bertepi,
Ku terdampar dalam sendu,
Tidak bernoktah dan berhuruf,
Ku terkorban dalam cinta,
Tak beralasan dari lembar,
Satu lagi tak terjanjikan,
Ranjang mawar yang ku mimpi.

*** 
(makna lirik)

  • Daripada sudut hakikat, ternyata penulis lagu berada dalam keadaan tak keruan akibat penangan cinta Ilahi. "Kerana Dia aku menangis..."

  • Lihat pada rangkap pertama telah jelas bahawa Sang Hamba sangat merindui kekasihnya. Dia telah 'gila' dalam menyintai Allah.

  • "Rela melepaskan kemudi di tangan, di kala ribut gelora datang mendera Samudera..." Pada ayat tersebut banyak perkara tersirat yang cuba digambarkan oleh penulis. "Kemudi" memberi makna pegangan yang dipegang oleh Sang Hamba. "Ribut bergelora" sinonim dengan ujian yang melanda secara bertali-arus menghentam Samudera. Dan Samudera itu adalah bermaksud kehidupan yang terumbang-ambing. Secara keseluruhannya, maksud untuk frasa tersebut adalah, Sang Hamba sanggup melepaskan pegangan/kenikmatan dunia dan membersihkan segala sifat haiwanyang terdapat dalam diri (kita) demi memperbaiki 'kehidupan'  dan demi Cintanya.

  • Rangkap kedua, maksud hampir menyamai rangkap pertama. Sang Hamba hanya menghambakan diri kepada Cintanya sahaja. Tiada lagi sifat haiwan yang tercela. Lalu, sempurnalah sebuah kalimah syahadah iaitu "Tiada Tuhan selain Allah" dalam ayat "Sanggup memutuskan pertalian diri kepada dia selain yang ku damba".

  • Setelah melepaskan hawa nafsu kepada dunia, barulah terasa nikmatnya fanalillah apabila telah tenggelam dalam rindu yang tiada bertepi, terdampar sendu dalam dunia yang tiada bernoktah dan berhuruf (alam Lahut)...

  • "Terkorban dalam cinta yang tak beralasan dari lembar" membawa maksud... dan matikan diri dalam cinta hakiki yang ternyata tidak memerlukan alasan 'mengapa' kerana hidup dan matinya hamba yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh itu hanyalah untuk Allah Subhanahuwata'ala.
Wallahua'lam


~~Tak Keruan_Zamani ft Sh. Zarina~~



Tak seorang yang ambil tahu,
Tak seorang pun ambil peduli,
Sehinggalah dikau yang datang,
dan membawa bersama hatimu.

Mana mungkin ku persiakan,
Bila cinta aku ketahuan,
Debar kencang aku rasakan,
Bergetaran di dalam kalbuku.

Saratnya bebanan asmara,
Beratnya menepis gelora,
Semua relaku terima,
Andainya inilah cinta.

Ternyata dialah ku cari,
Di dalam terjaga dan mimpi,
Meskipun adakala sepi,
Tetap setia menanti.

Hanya dia yang ku dambakan,
Walaupun aku rasa gundah,
Biar putih ataupun hitam,
Asalkan hati penuh rela,
Dengannya cinta.

Tiap saat tiada tempat,
Bukan bayangan tapi nyata,
Siang malam ku rasa terang,
Ku rasa tenang...rasa damai,
Dibuai cinta.

*** 
(makna lirik)

  • Hidupnya seorang manusia itu asalnya dari tanah. Ibarat tanah liat yang dibentuk-bentuk, jika tiada roh mengisi maka tiada keistimewaannya. Namun, Allah itu Maha Bijaksana. Dalam jasad yang bertanah itu, ditiupkan roh, lalu roh itu disulami pula dengan benih-benih cinta, rindu, sayang yang disimpan di Qalbu. Terletaklah perasaan itu di tempat yang sangat terpelihara. Lalu, Qalbu itu dibalut pula dengan segumpal daging yang sangat kecil. Jika terhiris dek dosa, maka cacatlah sedikit anggota. Daging itu adalah hati. Itulah gumpalan harta yang sangat istimewa daripada Allah kepada manusia. Di situ letak segalanya.

  • Jika kita mengetahui secara dalamnya mengenai rahsia hati, sukar sekali untuk kita meletakkan perkara yang ditegah di dalamnya, kerana perkara-perkara seperti itu akan merosakkan hati dan langsung akan menjejaskan sifat-sifat indah yang terpelihara dalam Qalbu.

  • Apabila Sang Hamba telah menemui cinta hakiki, takkan ada hamba yang akan melepaskan cinta itu melainkan mereka itu orang-orang yang rugi. Apatah lagi apabila cinta itu berbalas olehNya. Lalu hiduplah hati dengan Mahabatullah.

  • Sudah lumrahnya bercinta, rasa rindu itu pasti ada. Dan ternyata rindu itu pastilah menyiksakan jiwa. Namun, dugaan seperti itu bersifat normal dan bukan sesuatu yang luar biasa. Yang berbeza adalah "Siapakah yang dirindui?"

  • Setiap manusia yang mempunyai iman mahukan Dia. Tidak kira apa pun keadaan, lena dalam jaga, sakit dalam sihat, terang dalam gelap, rindu dalam takut, sepi dalam sunyi, Sang Hamba akan tetap menanti kehadiran Sang Cinta.

  • KehadiranNya yang dinanti, kehilanganNya tidak diingini. Walaupun 'bayanganNya' ditajalli, sudah cukup mengubati hati.
Wallahua'lam




~~Di sebalik "Wasilah Kasih_Okid"~~




Tidakku cintamu kekasih
Kerana balasan yang engkau janjikan dulu,
Untukku sebuah taman,
Yang mengalir sungai kebahagiaan...

Sungguh tidak kesampaian,
Cintaku padamu,
Seandai terikat dan bersyarat,
Padamu teman cinta kita,
Terasa pula adanya,
Tawar-menawar penuh tanda tanya...

Hanya satu pengucapanmu,
Yang ku pegang kini menjadi nadi,
Hiduplah aku kerananya,
Bersama janjimu restu penuh pasti...

Berpisah hingga kekasih,
Zahir kau yang hilang,
Ku cari pada gambaran nyata,
Tidak ku temu kau kekasih,
Bayangmu oh di mana,
Hinggakan aku kehilangan punca...

Lalu aku kembali, 
Ke alam abadi,
Bersama amanah janji,
Ku lihat engkau di sana,
Setia menanti,
Kekasih ku serahkan...

Cinta satu kita,
Lebih bermakna,
Dari balasan kau janjikan,
Walau kau duga bintang kejora,
Menjadi intan tak ku hirau...

Dalam sedar aku kembali,
Di dalam lenaku kita seabadi,
Siang  malam hanyalah mimpi,
Demi engkau kasih tidak ku peduli...

*** 
(Makna Lirik)

Hakikat cinta... siapa bercinta, di mana cinta, bagaimana cinta, apakah cinta...

**Orang yang benar dalam menyintai Allah itu tidak pernah mengharapkan balasan dan ganjaran. Mereka cukup berbahagia andai cinta yang dihulurkan mendapat sambutan daripadaNya...**

Cinta Allah cinta suci,
Tiada bersyarat tiada benci,
Hanya iri pada yang ditajalli,
Terasa diri jauh sekali.

Hiduplah engkau atas cintaNya,
Walau engkau dipandang hina,
Hanya itu pandangan manusia,
Tetapi Allah maha berkuasa,
DIA memandang hati yang mulia,
Sentiasa bersih, sentiasa bercahaya,
Itulah pesanan di rangkap ketiga.

Ku lihat dunia kosong belaka,
Di dalam Diri tiada DIA,
Ke mana DIA, ku hilang punca,
"Ingatlah kekasih, AKU tak selalu jelma,
Semoga kau seksa derita,
Itulah hakikat insan bercinta,
Lebih hebat berbanding manusia".

Aku kembali ke dalam Diri,
Pikul bersama amanah dan janji,
Perbaiki Diri, perelok hati,
Lihat di sana, siapa yang menanti?
Bersama senyuman si Cinta Hati,
Rindu terlerai, Siksa termati.

Sudahkah mengerti wahai Jasmani?
Penuhi hati dengan Diri,
Jika tidak, AKU pergi,
Bertambah seksa derita di hati,
Tak perlu pandang pada janji,
Kerana itu sudah pasti.

Bersatulah cinta, bermaknalah rasa,
Tak ku hirau pada janji terdahulu,
Kini aku mengecap bahagia,
Kerana aku benar menyintaiMu.

Di alam Fana' kita berganding, 
Hilang Diri, hilang saing,
Siang malam tidak penting,
Antara "Kita" tiada 'dinding'.

Dugalah aku dengan cahaya,
Dugalah aku dengan kejora,
Tak ku pandang sekilas mata,
Dengan Mu aku cukup bahagia.

Wallahua'lam

WASILAH KASIH_OKID


~~Di sebalik "Belenggu Irama" - Wings~~



~~Hari-hari bagaikan berlari,
Tiada sesaat berhenti,
Aku yang masih berdiri,
Tiada arah yang pasti...

~~Apakah aku sudah mati,
Dalam dunia ini,
Biarpun masih berdiri,
Tiada siapa peduli...

~~Aku terikat tanpa tali,
Aku berdiri tanpa bumi,
Aku berkata tanpa suara,
Aku menangis tanpa airmata...

~~Perintahmu adalah belenggu,
Menggenggamku dengan kuasamu,
Membuat aku menjadi layu,
Dalam suasana yang masih baru...

~~Bilakah akan berhenti bicara,
Untuk melihat apa yang melanda,
Angkaramu kepada irama,
Yang telah beku, 
Selama kau berkuasa...~~

*** 
(Makna Lirik)

~~Hanya lima rangkap yang diulang nyanyi, jika tiada mengambil inti, amatlah rugi. Waktu dan masa, umur dan usia sedang merangkak menuju senja. Sesaat tidak akan berhenti. Siapakah aku?

~~Aku itu adalah diri rohani. Apakah dia sudah mati? Dalam dunia mana? Dunia itu di dalam diri. Biarpun roh itu masih berdiri dan dalam keadaan fakir, tetap sahaja tidak dipeduli (bukan kerana fakir dalam perkara yang benar-benar menyintai Allah, tetapi fakir kerana tenggelam dalam lautan nafsu). Dia tidak dipeduli oleh kita, Si Pendamba Hawa Nafsu.

~~Dia terikat tanpa tali. Dia berdiri tanpa bumi. Dia berkata tanpa suara. Dia menangis tanpa airmata. Perkara-perkara ini tidak akan disedari oleh Si Pendamba Hawa Nafsu melainkan masih ada baki dan sisa Iman di dalam hati. Dan tatkala itulah akan terlahir rasa kekosongan jiwa di mana jiwa akan mula berasa sayu, jiwa mula berasa tidak tenang. Apakah kalian pernah berasakannya? Sesungguhnya itulah panggilan Imanmu.

~~Jika hati masih menolak, betapa besarnya ego manusia itu kerana masih mahu menurut kuasa hawa nafsunya. Kuasa itulah yang membuatkan diri menjadi layu dan kian tenggelam di dasar diri lalu ditimbus pula dengan kelikatan hitam bongkah-bongkah dosa.

~~Berhentilah bicara tentang dunia barang seketika. Tutuplah mata hitammu, bukalah mata hatimu... Lihatlah badai gelora apakah yang sedang melanda dalam dirimu. Kerana angkara itu, rosaklah irama suci dalam diri. Kerana angkaramu, irama itu kian sukar dilafazkan. Irama apakah itu?... Kalian bijak mencari jawapannya...

Wallahua'lam

~~Katalis-Spider~~



~~Bagaimana bisa ku melupakanmu, 
pemilik wajah yang meruntun di kalbu,
sekali tersenyum berzaman ku rindu,
dalam lena masih juga mimpikanmu...

~~Semakin ku nafi semakin menjadi,
semakin ku lawan semakin tertawan,
sedar-sedar hujung mata,
tertitis tangisan tak terungkap kata...

~~Tiap nafas mengutus ghairah dan rindu,
mendesakku gadai maruah diriku,
haruskah ku tunduk mengalah padamu,
sedang cinta menuntutku mendugamu...

~~Janjikan ku dapat biar kau ku rayu,
kerana hidup tak bermakna tanpamu...~~

*** 
(Makna Lirik)

~~Rangkap pertama :: menceritakan tentang 'aku' (penulis) yang tidak dapat melupakan sebuah kisah indah dengan kekasihnya. Sebuah pertemuan yang sangat suci itu amat meruntun kalbu. Kehadiran sifat JamaliahNya yang dinanti oleh penulis menjadikan aku lena dalam dakapan rindu nan syahdu. Dalam lena, dalam jaga... aku mendambakanNya.

~~Rangkap kedua :: Tiada siapa yang boleh menafi akan Dia. Tiada siapa yang boleh melawan akan Dia. Lalu dengan itu terucaplah "laa ilaha illallah". Tiada Tuhan melainkan Allah. Meresaplah kalimah nafi dan isbat ke dalam qalbu. Di situlah selayaknya Dia. sedarlah diri sang aku dalam tangisan keinsafan.

~~Rangkap ketiga :: Setiap nafas terukir namaNya. Runtuhlah ego dan hilanglah maruah seorang hamba. Perlukah diri aku mengalah pada hasutan nikmat duniawi kerana kehadiran sebuah cinta suci sentiasa diiringi dengan dugaan dan ujian.

~~Rangkap akhir :: Aku sanggup merayu asalkan Engkau ku miliki kerana tiadalah makna hidup aku tanpaMu.~~

Wallahualam

Katalis_Spider

~~Anagogi "Cuba Lagi" = Malique ft Lah Ahmad~~



~~Satu, dua, tiga dan empat... cuba berkali masih tak dapat, Lupakan sakit, segan dan penat, Nanti di puncak pasti terubat...

~~Empat, tiga, dua dan satu... Puncak yang betul aku di situ, Ada dah dekat ramai yang berbatu, Cuba lagi dik, Ku tunggu...

~~Ku cuba berkali-kali, Masih tak menjadi-jadi, Tapi ku tak patah hati, Tiap kali gagal aku cuba lagi, Aku cuba lagi, Aku cuba lagi, Hanya yang lemah kan lari, Jadi lelaki dan cuba lagi...

~~Nah, bukan senang hendak menang, Apatah lagi  jadi juara, Nah, bukan senang nak jadi bintang, Apatah lagi jadi legenda, Aku tahu aku fasih, Nombor satu yup aku masih, Terima kasih seteru bersekutu, Keranamu aku bertambah mutu, Tetapi kebelakangan ini aku tepu, Hampir beku, ni, buku lirik kosong hampir berdebu, Hilang sengat, Hilang seri, Hilang seru, Hilang merdu, Mata tutup kepala tertelungkup, Pintu dengar ketuk, Oh, anakku menjenguk. Papa jangan kerut dahi, baca bismillah mesti jadi...

~~Buat lagu hebat radio taknak main, Apa boleh buat, buat lagu lain, Aku dengar sedap, dia dengar lain, Mungkin lepas menang AIM dia main, Jangan cari pasal, kaji hujung pangkal, Buat lagi sampai tiada orang boleh sangkal, Sampai orang kampung kata pakai tangkal, sampai gadis kota tidur tepuk bantal, sampai orang-orang gaji pun hafal, tapi selagi tak berlaku tawakal, ganda usaha bukan simpati, percaya besok lusa buat lagi, mereka tanya sampai mana, ya nampak langit sampai sana, tiada makna kalau tiada fakta, lihat carta situ ku diwarta...

~~Ma kata ku pandai, pa kata ku kuat, jikalau cari jalan tak jumpa ku buat, ke sini ke sana hanya satu garis lurus, jangan menoleh ke mana-mana jalan terus,  ku bukan jenis suka omong kosong, tolong dengar dik jangan bodoh sombong, lima ribu tahun atau lima saat, kalau kita mahu kita dapat...

~~Banyak laki berapa jati, banyak janji berapa ditepati, cuma dara sunti minta dipuji, anak jantan minta uji, lepas cakap besar tanam pokok, pasti belum boleh berteduh besok, dan kalau tak berbuah doa sehari lagi, Tuah akan sampai dengan Taming Sari sekali...~~

*** 
(Makna Lirik)

~~Rangkap pertama  dihuraikan tentang "aku" yang masih mencuba untuk mendaki tangga menuju cinta Ilahi. Bukanlah mudah untuk menggapai cinta yang hakiki. Di setiap batas perjalanan pasti sahaja ada badai yang memberi halangan. Namun begitu, usahlah mudah berasa perit, letih, lelah, malahan jangan pula berputus asa kerana sememangnya itulah lumrahnya cinta. Apabila telah bertemu dengan "Hal itu" pasti tiada lagi rasa penat dan kesusahan. Bagaikan madah ratu pujangga, "Orang yang cinta akan Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana pula kesenangan." 
"Satu, dua, tiga dan empat", bermaksud kita ini bukanlah mencari akhirnya hidup, tetapi hakikatnya kita ini mencari titik permulaan hidup.

~~"Empat, tiga, dua dan satu", penulis mengatakan itulah puncak yang betul. Benar, itulah permulaan hidup. Bersimbolkan "Satu". Empat, tiga, dua dan satu (ه ل ل ا). Permulaan hidup berdiri di atas huruf Alif dalam kalimah الله. (cari guru untuk pencerahan). Ada hamba yang telah hampir kepadaNya, ada yang masih jauh, namun, jangan berhenti di pertengahan jalan. Teruskan mencuba.

~~Rangkap ketiga, menjelaskan tentang sikap yang tidak mudah berputus asa. Terus mencuba tanpa kenal erti penat dan lelah. Buktikan, bahawa diri itu kuat menentang bisikan hawa nafsu dalam mencari Ilahi. Hanya yang lemah imannya akan terpesong jalan.

~~Ibaratnya bertemu buku dengan ruas, segagah mana pun kita di dunia ini, pasti tewas dalam pencarian cinta Allah. Bukan senang hendak menjadi juara. Perkara yang penting "cuba lagi walaupun berkali-kali, jangan patah hati". "Terima kasih seteru bersekutu, keranamu aku bertambah mutu", maknanya hawa nafsu, manusia yang menghalangi, iblis dan syaitan... itulah tentera bersekutu yang tidak suka akan keinginan hamba yang mulia, manusia pencari Diri. Tentera bersekutu ini akan sentiasa mencari pelbagai helah dan melempar pelbagai tohmahan fitnah. Kedengaran begitu hebat, namun percayalah, bahawa tindakan mereka itulah yang membuatkan para Pencari Cinta ini bertambah semangat dalam mengecap cinta Maha Agung. Terkadang ujian dan halangan sebegitu tidaklah terlalu menyiksakan berbanding derita apabila si Dia tidak mentajallikan dzatNya. Hidup kosong, tiada sengat, tiada seri, hilang seru, hilang merdu, bagaikan mencari-cari cahaya yang sirna di dalam cahaya. Lalu kemunculan seorang pembimbing (simbolik "anak") mempertemukan kembali jalan yang hilang.

~~Rangkap kelima, inilah lagu hebat tentang Makrifatullah...namun, tidak semua orang boleh memahami. Kerana tiada pengiktirafan dunia. Namun, di sebalik itu, terlihat pengiktirafan hakiki. Jika lagu ini mendapat perhatian dunia, ayuh kaji dahulu hujung dan pangkal. Biar tiada orang boleh sangkal, sehingga kehebatan Allah yang terlihat dikatakan bagai memakai tangkal (lumrahnya manusia lebih mengagungkan perkara yang haram dan perkara yang dimurkai Allah berbanding Allah.) Lagukan zikir sehingga manusia lena diulit cinta Allah, lagukan zikir sehingga hamba sahaya turut mengakui keagungan dan kehebatan Allah. Namun, perlu bertawakal yang sebenar-benarnya kepada Allah bukan hanya basah di bibir. Sifatnya manusia ibarat bertaubat hari ini, esok lusa menderhaka lagi. Raihlah cinta Allah sehingga tiada dirimu.

~~Rangkap keenam, penulis tidak berhenti menyeru pendengar untuk terus mencuba dan mencuba. Setiap hamba mempunyai jalan yang berbeza dalam menggapai ma'rifah. Namun, masih berdiri di atas garis yang lurus biarpun jalan menuju matlamat itu bersimpang-siur selagi mana tiada pesongan niat. Jika anda mahukan syurga, itulah yang akan anda peroleh... jika anda mahukan Pencipta Syurga, itulah yang akan anda dapat.

~~Rangkap terakhir, dalam mencari Diri Hakiki, perlu bekalan semangat yang kuat, ketabahan yang padu, tidak perlu berjanji...tetapi amalkan dari azali, jangan hanya beriak tahu tetapi tiada sesuatu... paling penting, "cuba lagi" pasti berbuah hakiki. Jangan hanya beramal untuk minta dipuji...~~

~~Wallahua'lam~~

~~Cuba Lagi_Malique ft Lah Ahmad~~

~~Kiasan "Kurnia-Slam"~~


~~Terlukis hakikat insani...
dari tinta lautan jiwa...
satu penzahiran rasa jelas di mata...
satu lakonan di pentas dunia...~~

~~Lukisan tidak berbingkai...
dan bahasa yang tak ternilai...
kita renangi bersama lautan nikmat...
sampai ke pulau segala keramat...~~

~~Ayuhlah kita pulang...
dendangkan lagu kasih sayang...
hilangkan keraguan terangkan kegelapan...
apa yang ada di langit dan bumi...
adalah satu curahan cinta kita tak terperi...~~

~~Aku hanya menumpang kasih melihat keindahan...
menjamah kebahagiaan...
dan berterima kasih atas kurnia...
yang tak terhingga...~~

*** 
(Makna lirik)

~~Rangkap pertama nyata terangnya,
Berkaitan hati dan juga jiwa,
Rindu tertanggung tidak terkira,
Sehingga jelas terbayang di mata.

~~Rangkap kedua baru bercerita,
Diri Hakikat itulah Dia,
Tiada bahasa tanding taranya,
Diam membisu terkunci bicara.

~~Lautan nikmat itulah alamnya,
Alam Lahut sungguh selesa,
Tiada engkau tiada kita,
Tinggal hanya Aku sahaja.

~~Rangkap ketiga tentang mati,
Mati nafsu mati diri,
Tiada diri tinggallah hakiki,
Jangan dilupa lagu (zikir) azali,
Agar Dia bisa mengenali.

~~Jangan dibiarkan gelap berterusan,
Bimbang hilang jalan kebenaran, 
Langit dan bumi jadikan pelajaran,
Itulah ilmu sifatnya berpedoman.

~~Sifatnya insan menumpang tinggal,
Dalam dunia tiada kekal,
Janganlah lupa melakukan amal,
Bersyukur kepadaNya teruskan bertawakal.

~~Zikir hati makanan jiwa,
Mencari diri terlalu seksa,
Ibarat kata si guru tua,
Ini amalan orang-orang lama.

~~Kiasan "Suatu Masa" _M.Nasir~~


~~Bagaimanakan ku mula...
dan apakah kata-kata...
Yang indah untuk diabadikan...
Tiap wajah berkisah...
Tiap madah Bererti..
Manakah ilhamku...

~~Cahaya di matamu...
senyum di bibirmu...
mengukir seribu tanda pertanyaan,..
Mungkinkah kau jua...
Dalam kerinduan...
Di saat begini...aku merindukan...

~~Berhelai-helai surat...
Terbiar di depanku... Tak dapat aku utuskan
Ku ramas semua... dan ku buangkan jauh..
Dari pandangan...

~~Lalu aku kesal... ku kumpul semula...
Tak dapat ku nyatakan apa yang ku rasa...
Jika engkau tahu di dalam hatiku...
mungkinkah kau sahut...
jeritan batinku...

~~Dengarkanlah panggilanku... 
dengarkanlah lagu untukmu...
Angin lalu... kau sampaikan 
Rasa rindu yang mebara kepadanya...

~~Warna-warna cintaku...
Kian pudar bersama...
malam yang gelap gelita...
Entahkan kau rasakan...
Apa yang aku rasa...
Atau kau tak endah...

~~Tapi ku percaya...semua telah tertulis...
 dan niat suciku takkan disiakan...
dan di suatu masa.... di hari yang indah...
ku hulur tanganku...lalu kau terima...

***

(Makna Lirik)

~~Suatu masa, suatu ketika, waktu yang telah berlalu, namun takkan terkubur walau dalam ingatan, dalam hati... ia tetap di situ. Apakah ia?

~~Rangkap pertama (dan secara keseluruhan lagu) menceritakan tentang seorang hamba yang kembali menagih kasih Allah. Setelah lama terbiar sepi, pastilah sukar untuk mencorak langkah pertama sebagai sambugan langkah terdahulu yang telah mati kaku. Apakah kata-kata indah yang perlu dilafazkan? Hanya untuk Dia...

*'tiap wajah berkisah... tiap madah bererti... manakah ilhamku...' bermaksud sang hamba menemui petunjuk yang mendorong kepada jalan menuju Allah. Namun, di mana Dia?

~~Diri sudah bertemu, tetapi di mana Diri yang Hakiki? ketenangan Diri itu sukar ditafsirkan. Dalam tenang ada resah membelenggu, dalam tenang ada gelisah terikat. Diri dan diri merindui Diri Hakiki... (rujuk guru)

~~'Surat' bermaksud 'risalah' zikir telah dihimpunkan, namun sekadar berlagu di alam malakut. Tiada sampai kepada Diri Hakiki. Di alam Malakut, masih bergelumang dengan godaan hawa dan nafsu, lalu Sang Hamba mula berputus asa dalam mencari Dia.

~~Kesal bertandang membuatkan Sang Hamba kembali kekal dalam lorong yang benar.

~~"Ya Allah, dengarkanlah panggilanku, dengarkanlah 'lagu' untukMu. Wahai angin (nafas naik dan nafas turun) sampaikanlah rasa rinduku kepada Tuhanku."

~~Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui segala perkara tentang hambaNya.

~~Kekosongan jiwa malam itu, adalah secebis rezeki yang dikurniai Allah untuk hambaNya. Dia amat menyukai hambaNya yang sering merayu kasihNya. Pasti di suatu masa, di hari yang telah dijanjikan untuk hamba itu, Dia akan menerima 'huluran' taubat hambaNya.

Wallahua'lam

Suatu Masa_M.Nasir

~~ADA RINDU- anis aniesa~~


~~Anakanda yang jauh di mata
Ibu rindu sayang
Ibu selalu bisikkan
Pergilah sayang kepada insan
Yang boleh memberi kasih dan sayang
Lebih daripada ibu
Tapi hakikat ibu ini lemah tanpamu
Ibu gusar, bimbang dan ragu
Ibu hilang arah
Ibu ke kiri
Ibu jumpa bayangmu
Ibu ke kanan
Ibu jumpa jejakmu
Ibu tak membuangmu
Tapi ibu membiarkanmu lautan sayang
Ibu pejam mata
Ibu tak lena
Ibu harap kau di sini
Menemani tawa dan tangis ibu
Ibu rindu kamu...~~

Sumbangan_Anis Aniesa


~~NUKILAN -Anis Aniesa~~


~~Ada masanya...Aku suka menyanyi
Ada masanya...Aku lupa mengaji
Ada masanya...Aku pergi bersilat
Ada masanya...Aku lupa bersolat
Ada masanya...Aku menangis kerna cinta
Ada masanya...Aku terlupa padaNYA

~~Setiap pagi dalam hembus dingin
Ada ambisi berlegar di benak
Menjadikan aku semakin senak
Bernafas dalam kalut juga loklaq
Ku lari lepasi sempadan kedewasaan
Selusuri titik kemanusiaan
Rupanya banyak lagi tertinggal antara garisan

~~Setiap kemanisan tak dibalas madu
Terima kasih, itu ujianMU~~

Sumbangan_Anis Aniesa



~~Kiasan "Nirmala-Siti Nurhaliza"~~


~~Diciptakan seorang insan...
Lembut hati bak redup pandangan...
Pabila berkata...
Seluruh alam menyaksikan kesyahduan...
Bagai tersentuh rasa percaya...
Tika terdengarkan...
Aduhai...

~~Telah jauh berkelana entah di mana...
Ada rasa hanya kuntum kasihnya...
Khabar itu merelakan perjalanannya...
Ada jiwa hanya kuntum kasihnya...
Biar panas membakar...
Biar ranjau mencabar...
Telah mekar hati seindah purnama...
Dipujuk segala rajuk...
Sepi rindu adakala meracun imannya...

~~Siapa menyapa bagai pelita...
Arah yang menghilang tika gelita...
Duhai kasih...Bulan saksi...
Tatap tidak ditatap...
kotakan di dada..
Yang terdetik temukan sang cinta...

~~Kekasih tak berbahasa...
Getir fikir derita mengharap...suara...

~~Tangis bagai gerimis...
Hati bak tasik pedih...
Cuba cari hakikat...
Temukan azimat..
Kasih gundah gerhana...
Diam tak berirama...
Gusar tambah gementar...
Tak tertanggung rasa...

~~Nun dari sana...
Telah turun berbicara...
Sang kesuma...bidadari...syurgawi...

~~Sesungguhnya berkasihlah di antara manusia...
Perindah segala kata-kata...
Bahagia itu janjinya...
Mengapa cipta sengketa...
Rentaslah jalan terbuka...
Tanpa dusta...

~~Telah teguh di garis karma...~~

*** 

(Makna lirik)

~~Nirmala itu sendiri bermaksud bersih dan tidak ternoda. Benarlah bahawa Allah itu Maha Suci. Allah mencipta sifat insan lalu disertakan bersama-sama jasmani manusia. Di dalam insan itu adanya kerohanian yang sentiasa mengingati Allah. Apabila roh mula mengalun asma' Allah, maka bergetarlah seluruh 'alam' melihat kesaksian tauhid seorang hamba Allah. Itulah ucapan tauhid keimanan.

~~"Telah jauh berkelana entah di mana..." simbol atas makna roh telah jauh menuju alam fana bersatu dengan Kekasihnya.

~~Apabila Diri mengenal dzat yang azali...turunlah ujian yang seperti apapun.. pasti tidak akan goyah kerana cinta dan kasihNYA telah mekar di hati, seindah purnama yang menyinar.

~~Tidak setiap saat hijabNYA akan tersingkap. Kadangkala...hanya dapat melihat cuma sekali sahaja diriNYA. Kadangkala DIA diam membisu agar hambaNYA terus merayu padaNYA. Sesungguhnya DIA amat suka mendengar rayuan hambaNYA.

~~Sesungguhnya DIA itu Maha Melihat. Apabila hambaNYA mulai lalai...atau hilang arah tujuan...disapaNYA dengan ujian untuk memberi kekuatan kepada mereka.

~~Antara nampak dan tidak...tanamkan niat pasti akan bertemu Pemilik Diri... Biarpun DIA hanya mendiam, walaupun diamNYA itu membuatkan sang hamba menderita kerinduan mengharapkan kehadiranNYA.

~~Sesungguhnya betapa pedih menanggung derita apabila Kekasih hati tiada menunjukkan wajahNYA. Dalam derita, sang hamba cuba mencari hakikat DIRI demi satu azimat (ALLAH). Diamnya Sang Kekasih membuatkan sang hamba gundah gulana... Apakah DIA sudah tidak menghiraukan hambaNYA lagi...?

~~Namun, tidak begitu. Allah tidak pernah mensia-siakan makhluk ciptaanNYA. Lalu disingkap hijabNYA sedikit untuk merawat derita rindu kekasihNYA.

~~Terlerailah rindu dendam sang hamba... berkasihlah manusia kepada Pencipta. Hiasilah kata-kata dengan menyebut namaNYA...kerana bahagia itu telah dijanjikan.

~~Usahlah wujudkan pertelingkahan... Harungilah jalan yang benar, lurus dan tiada dusta di kiri kanannya.

~~Telah teguh di garis...karma...~~

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com