~~Mengenali Fuzail bin Iyaz~~ (Bab Satu)



Fuzail Penyamun

~~ Sewaktu masih remaja, Fuzail mendirikan khemah di tengah-tengah padang pasir, iaitu di antara Merv dan Bawar. Jubahnya dibuat daripada bahan kasar, topinya dibuat daripada  bulu kambing, dan dilehernya sentiasa tergantung sebuah tasbih. Fuzail mempunyai ramai kawan yang semuanya terdiri daripada para pencuri dan penyamun. Siang dan malam mereka merompak, membunuh dan membawa hasil rampasan mereka kepada Fuzail kerana dia adalah ketua mereka. Fuzail hanya mengambil sesuatu yang disukainya, yang selebihnya dibahagikan kepada semua sahabatnya. Dia selalu ingat tentang sesuatu dan tidak pernah lupa dari pertemuan-pertemuan mereka. Setiap anggota baru yang tidak menghadiri pertemuan, Fuzail akan mengeluarkannya dari kumpulan mereka.

~~Suatu hari sebuah kafilah besar melewati daerah mereka. Fuzail dan sahabat-sahabatnya telah menunggu kedatangan kafilah tersebut. Di dalam rombongan itu ada seorang lelaki yang pernah mendengar desas-desus mengenai perompak ini. Ketika dia terlihat kumpulan perompak ini dari jauh, dia pun berfikir, bagaimana dia hendak menyembunyikan sebekas emas miliknya.

~~ Lalu dia menyimpang ke jalan raya. Kemudian dia terlihat ada sebuah khemah dan berhampiran khemah itu kelihatan seorang lelaki di mana wajah dan pakaiannya bagaikan membawa maksud sebagai seorang pertapa. Maka bekas emas itu diberikan kepada orang itu iaitu Fuzail sendiri.

~~"Simpan bekasmu di sudut khemahku ini," Fuzail berkata kepadanya. Lelaki itu melakukan seperti apa yang dikatakan oleh Fuzail. Kemudian dia kembali kepada rombongannya. Tetapi ternyata mereka telah disamun oleh Fuzail. Semua barang dagangan mereka dirampas, manakala kaki dan tangan mereka diikat. Lantas lelaki itu membuka ikatan yang membelenggu mereka dan mengumpulkan sisa baki  barang dagangan yang masih ada. Setelah itu, lelaki tersebut kembali ke khemah Fuzail untuk mengambil semula bekas berisi emasnya. Dia melihat Fuzail berkumpul dengan perompak-perompak tadi dan sedang membahagikan harta rampasan mereka. 

~~"Ternyata, aku telah memberikan emasku kepada seorang penyamun," lelaki itu mengeluh.

~~ Tetapi Fuzail tiba-tiba memanggilnya dan dia datang menghampiri.

~~"Apa yang engkau mahu?" lelaki itu bertanya.

~~"Ambillah barang kamu di tempat tadi. Dan selepas itu tinggalkan tempat ini."

~~Lelaki itu lantas berlari mendapatkan barang emasnya kembali. Dalam kehairanan, kawan-kawan Fuzail berkata, "dari setiap kafilah itu, kita tidak mendapatkan walau satu dirham sekalipun, tetapi mengapa engkau mengembalikan emas itu kepadanya?"

~~Lalu Fuzail menjawab, "Dia mempercayaiku, sepertimana aku mempercayai bahawa Allah akan menerima taubatku. Aku menghargai kepercayaannya itu agar Allah menghargai kepercayaanku pula."

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com