~~Mengenali Fuzail bin Iyaz (Bab tiga)~~


Taubat si Penyamun

~~ Pada awal sikap jahatnya, Fuzail tergila-gila akan seorang wanita. Fuzail selalu menghadiahkan harta rampasan kepada kekasihnya itu. Kerana terlalu cinta, Fuzail sering memanjat dinding rumah wanita itu tanpa peduli keadaan cuaca. Ketika berbuat begitu, dia selalu menangis.

~~ Suatu malam, ketika dia sedang memanjat dinding rumah kekasihnya itu, sebuah kafilah melewati kawasan itu, dan ada di antara mereka membacakan ayat-ayat al-Quran. Terdengarlah oleh Fuzail ayat yang berbunyi: "Belumkah tiba masanya hati orang-orang yang percaya merendah diri untuk mengingati Allah?"

~~ Ayat ini bagaikan anak panah menusuk ke jantung Fuzail, seolah-olah suatu ingatan kepadanya: "Wahai Fuzail, berapa lama lagikah engkau akan menyamun para kafilah? Telah tiba masanya kami akan menyamunmu pula!"

~~ Fuzail terjatuh dan berkata :"Memang telah tiba masanya, malah hampir terlewat!"

~~ Fuzail berasa bingung dan malu. Dia berlari ke arah sebuah bukit. Ternyata di situ sebuah kafilah sedang berkhemah. Mereka berkata :"Marilah kita meneruskan perjalanan." Namun salah seorang daripada mereka melarang dengan mengatakan bahawa Fuzail sedang menanti dan akan menghalang perjalanan mereka.

~~Mendengarkan kata-kata mereka itu, Fuzail berkata :"Berita gembira! Fuzail telah bertaubat!"

~~ Setelah berkata begitu, dia pun pergi. Sepanjang hari dia berjalan sambil menangis. Hal ini sangat mengembirakan orang-orang yang membenci dirinya. Kepada setiap orang di antara sahabat-sahabatnya, Fuzail meminta supaya janji setia antara mereka diputuskan. Akhirnya hanya tinggal seorang yahudi di Baward. Yahudi itu tidak mahu memutuskan janji setia antara dia dan Fuzail.

~~ "Sekarang kita dapat mempermain-mainkan ummat Muhammad," Yahudi itu berbisik kepada teman-temannya sambil ketawa.

~~ "Jika engkau mahu memutuskan janji setia antara kita, maka ratakanlah bukit itu," Yahudi itu berkata kepada Fuzail sambil menunjukkan ke arah sebuah bukit pasir. Bukit itu tidak mungkin dapat dipindahkan oleh manusia kecuali mengambil masa yang lama. Fuzail mula mencangkul bukit itu sedikit demi sedikit. Namun, bagaimana tugas tersebut dapat diselesaikan?

~~ Pada suatu pagi, ketika Fuzail dalam keletihan, tiba-tiba angin kencang datang lantas menerjah ke arah bukit pasir tersebut sehingga bukit pasir itu menjadi rata. Yahudi itu berasa hairan dan berkata kepada Fuzail: "Sesungguhnya aku telah bersumpah, bahawa aku tidak akan memutuskan janji setia kita sebelum engkau memberikan wang kepadaku. Oleh itu, masuklah ke dalam rumahku, ambil segenggam wang emas yang terletak di bawah permaidani dan berikan kepadaku. Dengan begitu, sumpahku akan dipenuhi dan janji setia di antara kita diputuskan."

~~Fuzail masuk ke dalam rumah orang Yahudi itu. Sesungguhnya Yahudi itu telah meletakkan selonggok tanah di bawah permaidani itu. Tetapi ketika Fuzail meraba ke bawah permaidani itu dan menarik tangannya keluar, ternyata didapatinya adalah segenggam penuh dinar emas, lalu diserahkan kepada Yahudi tersebut.

~~"Islamkan aku!" Yahudi itu berkata kepada Fuzail. Lalu Fuzail mengislamkannya dan jadilah dia seorang muslim.

~~Kemudian Yahudi itu berkata kepada Fuzail, "Tahukah engkau mengapa aku mahu memeluk Islam? Dahulu aku ragu, yang manakah agama yang benar. Aku pernah membaca di dalam Taurat "Jika seseorang yang benar-benar bertaubat, kemudian meletakkan tangannya di atas tanah, maka tanah itu akan berubah menjadi emas." 

~~"Kini, tahulah aku bahawa engkau benar-benar bertaubat. dan agamamu adalah agama yang benar."

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com