~~Anagogi "Cuba Lagi" = Malique ft Lah Ahmad~~



~~Satu, dua, tiga dan empat... cuba berkali masih tak dapat, Lupakan sakit, segan dan penat, Nanti di puncak pasti terubat...

~~Empat, tiga, dua dan satu... Puncak yang betul aku di situ, Ada dah dekat ramai yang berbatu, Cuba lagi dik, Ku tunggu...

~~Ku cuba berkali-kali, Masih tak menjadi-jadi, Tapi ku tak patah hati, Tiap kali gagal aku cuba lagi, Aku cuba lagi, Aku cuba lagi, Hanya yang lemah kan lari, Jadi lelaki dan cuba lagi...

~~Nah, bukan senang hendak menang, Apatah lagi  jadi juara, Nah, bukan senang nak jadi bintang, Apatah lagi jadi legenda, Aku tahu aku fasih, Nombor satu yup aku masih, Terima kasih seteru bersekutu, Keranamu aku bertambah mutu, Tetapi kebelakangan ini aku tepu, Hampir beku, ni, buku lirik kosong hampir berdebu, Hilang sengat, Hilang seri, Hilang seru, Hilang merdu, Mata tutup kepala tertelungkup, Pintu dengar ketuk, Oh, anakku menjenguk. Papa jangan kerut dahi, baca bismillah mesti jadi...

~~Buat lagu hebat radio taknak main, Apa boleh buat, buat lagu lain, Aku dengar sedap, dia dengar lain, Mungkin lepas menang AIM dia main, Jangan cari pasal, kaji hujung pangkal, Buat lagi sampai tiada orang boleh sangkal, Sampai orang kampung kata pakai tangkal, sampai gadis kota tidur tepuk bantal, sampai orang-orang gaji pun hafal, tapi selagi tak berlaku tawakal, ganda usaha bukan simpati, percaya besok lusa buat lagi, mereka tanya sampai mana, ya nampak langit sampai sana, tiada makna kalau tiada fakta, lihat carta situ ku diwarta...

~~Ma kata ku pandai, pa kata ku kuat, jikalau cari jalan tak jumpa ku buat, ke sini ke sana hanya satu garis lurus, jangan menoleh ke mana-mana jalan terus,  ku bukan jenis suka omong kosong, tolong dengar dik jangan bodoh sombong, lima ribu tahun atau lima saat, kalau kita mahu kita dapat...

~~Banyak laki berapa jati, banyak janji berapa ditepati, cuma dara sunti minta dipuji, anak jantan minta uji, lepas cakap besar tanam pokok, pasti belum boleh berteduh besok, dan kalau tak berbuah doa sehari lagi, Tuah akan sampai dengan Taming Sari sekali...~~

*** 
(Makna Lirik)

~~Rangkap pertama  dihuraikan tentang "aku" yang masih mencuba untuk mendaki tangga menuju cinta Ilahi. Bukanlah mudah untuk menggapai cinta yang hakiki. Di setiap batas perjalanan pasti sahaja ada badai yang memberi halangan. Namun begitu, usahlah mudah berasa perit, letih, lelah, malahan jangan pula berputus asa kerana sememangnya itulah lumrahnya cinta. Apabila telah bertemu dengan "Hal itu" pasti tiada lagi rasa penat dan kesusahan. Bagaikan madah ratu pujangga, "Orang yang cinta akan Allah itu hilang, dalam melihat Allah hingga lenyap dirinya, dan dia tidak boleh membezakan yang mana penderitaan dan yang mana pula kesenangan." 
"Satu, dua, tiga dan empat", bermaksud kita ini bukanlah mencari akhirnya hidup, tetapi hakikatnya kita ini mencari titik permulaan hidup.

~~"Empat, tiga, dua dan satu", penulis mengatakan itulah puncak yang betul. Benar, itulah permulaan hidup. Bersimbolkan "Satu". Empat, tiga, dua dan satu (ه ل ل ا). Permulaan hidup berdiri di atas huruf Alif dalam kalimah الله. (cari guru untuk pencerahan). Ada hamba yang telah hampir kepadaNya, ada yang masih jauh, namun, jangan berhenti di pertengahan jalan. Teruskan mencuba.

~~Rangkap ketiga, menjelaskan tentang sikap yang tidak mudah berputus asa. Terus mencuba tanpa kenal erti penat dan lelah. Buktikan, bahawa diri itu kuat menentang bisikan hawa nafsu dalam mencari Ilahi. Hanya yang lemah imannya akan terpesong jalan.

~~Ibaratnya bertemu buku dengan ruas, segagah mana pun kita di dunia ini, pasti tewas dalam pencarian cinta Allah. Bukan senang hendak menjadi juara. Perkara yang penting "cuba lagi walaupun berkali-kali, jangan patah hati". "Terima kasih seteru bersekutu, keranamu aku bertambah mutu", maknanya hawa nafsu, manusia yang menghalangi, iblis dan syaitan... itulah tentera bersekutu yang tidak suka akan keinginan hamba yang mulia, manusia pencari Diri. Tentera bersekutu ini akan sentiasa mencari pelbagai helah dan melempar pelbagai tohmahan fitnah. Kedengaran begitu hebat, namun percayalah, bahawa tindakan mereka itulah yang membuatkan para Pencari Cinta ini bertambah semangat dalam mengecap cinta Maha Agung. Terkadang ujian dan halangan sebegitu tidaklah terlalu menyiksakan berbanding derita apabila si Dia tidak mentajallikan dzatNya. Hidup kosong, tiada sengat, tiada seri, hilang seru, hilang merdu, bagaikan mencari-cari cahaya yang sirna di dalam cahaya. Lalu kemunculan seorang pembimbing (simbolik "anak") mempertemukan kembali jalan yang hilang.

~~Rangkap kelima, inilah lagu hebat tentang Makrifatullah...namun, tidak semua orang boleh memahami. Kerana tiada pengiktirafan dunia. Namun, di sebalik itu, terlihat pengiktirafan hakiki. Jika lagu ini mendapat perhatian dunia, ayuh kaji dahulu hujung dan pangkal. Biar tiada orang boleh sangkal, sehingga kehebatan Allah yang terlihat dikatakan bagai memakai tangkal (lumrahnya manusia lebih mengagungkan perkara yang haram dan perkara yang dimurkai Allah berbanding Allah.) Lagukan zikir sehingga manusia lena diulit cinta Allah, lagukan zikir sehingga hamba sahaya turut mengakui keagungan dan kehebatan Allah. Namun, perlu bertawakal yang sebenar-benarnya kepada Allah bukan hanya basah di bibir. Sifatnya manusia ibarat bertaubat hari ini, esok lusa menderhaka lagi. Raihlah cinta Allah sehingga tiada dirimu.

~~Rangkap keenam, penulis tidak berhenti menyeru pendengar untuk terus mencuba dan mencuba. Setiap hamba mempunyai jalan yang berbeza dalam menggapai ma'rifah. Namun, masih berdiri di atas garis yang lurus biarpun jalan menuju matlamat itu bersimpang-siur selagi mana tiada pesongan niat. Jika anda mahukan syurga, itulah yang akan anda peroleh... jika anda mahukan Pencipta Syurga, itulah yang akan anda dapat.

~~Rangkap terakhir, dalam mencari Diri Hakiki, perlu bekalan semangat yang kuat, ketabahan yang padu, tidak perlu berjanji...tetapi amalkan dari azali, jangan hanya beriak tahu tetapi tiada sesuatu... paling penting, "cuba lagi" pasti berbuah hakiki. Jangan hanya beramal untuk minta dipuji...~~

~~Wallahua'lam~~

~~Cuba Lagi_Malique ft Lah Ahmad~~

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com