~~Di sebalik "Belenggu Irama" - Wings~~



~~Hari-hari bagaikan berlari,
Tiada sesaat berhenti,
Aku yang masih berdiri,
Tiada arah yang pasti...

~~Apakah aku sudah mati,
Dalam dunia ini,
Biarpun masih berdiri,
Tiada siapa peduli...

~~Aku terikat tanpa tali,
Aku berdiri tanpa bumi,
Aku berkata tanpa suara,
Aku menangis tanpa airmata...

~~Perintahmu adalah belenggu,
Menggenggamku dengan kuasamu,
Membuat aku menjadi layu,
Dalam suasana yang masih baru...

~~Bilakah akan berhenti bicara,
Untuk melihat apa yang melanda,
Angkaramu kepada irama,
Yang telah beku, 
Selama kau berkuasa...~~

*** 
(Makna Lirik)

~~Hanya lima rangkap yang diulang nyanyi, jika tiada mengambil inti, amatlah rugi. Waktu dan masa, umur dan usia sedang merangkak menuju senja. Sesaat tidak akan berhenti. Siapakah aku?

~~Aku itu adalah diri rohani. Apakah dia sudah mati? Dalam dunia mana? Dunia itu di dalam diri. Biarpun roh itu masih berdiri dan dalam keadaan fakir, tetap sahaja tidak dipeduli (bukan kerana fakir dalam perkara yang benar-benar menyintai Allah, tetapi fakir kerana tenggelam dalam lautan nafsu). Dia tidak dipeduli oleh kita, Si Pendamba Hawa Nafsu.

~~Dia terikat tanpa tali. Dia berdiri tanpa bumi. Dia berkata tanpa suara. Dia menangis tanpa airmata. Perkara-perkara ini tidak akan disedari oleh Si Pendamba Hawa Nafsu melainkan masih ada baki dan sisa Iman di dalam hati. Dan tatkala itulah akan terlahir rasa kekosongan jiwa di mana jiwa akan mula berasa sayu, jiwa mula berasa tidak tenang. Apakah kalian pernah berasakannya? Sesungguhnya itulah panggilan Imanmu.

~~Jika hati masih menolak, betapa besarnya ego manusia itu kerana masih mahu menurut kuasa hawa nafsunya. Kuasa itulah yang membuatkan diri menjadi layu dan kian tenggelam di dasar diri lalu ditimbus pula dengan kelikatan hitam bongkah-bongkah dosa.

~~Berhentilah bicara tentang dunia barang seketika. Tutuplah mata hitammu, bukalah mata hatimu... Lihatlah badai gelora apakah yang sedang melanda dalam dirimu. Kerana angkara itu, rosaklah irama suci dalam diri. Kerana angkaramu, irama itu kian sukar dilafazkan. Irama apakah itu?... Kalian bijak mencari jawapannya...

Wallahua'lam

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com