~~Selingkar Kasih_REM~




Seharusnya cinta ini bisa berdiri,
Sebagai sebuah istana megah,
Menjadi persinggahan mahkota hati,
Melambang kebahagiaan kita.

Seharusnya cinta kita bisa tersenyum,
Seolah seorang puteri ayu,
Akan menjadi idaman mahkota hati,
Lambang pengorbanan kita yang suci.

Tetapi selingkar oh kasihmu,
Telah terurai meragut,
Dan menyayat hati ini jua,
Masih lagi selingkar kasihmu,
Yang menghantui prasedar,
Dan meragut rindu daku jua,
Oh...

Kepastian yang ku nanti,
tetap engkau masih mencari,
Cinta yang lain,
Bukan diriku...

*** 
(Makna Lirik)

  • Secara keseluruhannya, lagu ini menceritakan tentang Cinta. Bagaimana sebuah cinta itu didustai dan bagaimana pula sebuah cinta itu menjadi sebuah pengharapan dan penantian. Seharusnya cinta itu merupakan satu perkara yang menjadi sebuah peneguhan rindu yang hakiki, peneguhan cinta yang jitu dan peneguhan diri yang tetap, kerana cinta itu berkaitan dengan hati dan pastilah melahirkan sebuah kebahagiaan yang bisa membuat kita tenang setelah jiwa itu mengenal Cinta.


  • Apabila roh dan jasad telah berganding dalam mencari Cinta Ilahi, maka bergemerlapanlah seluruh alam menyaksikan Jamal Allah. Sungguh, itulah idaman setiap hati yang telah memiliki Cinta. Namun, sudah lumrahnya alam, sesuatu yang manis memerlukan sebuah pengorbanan.


  • Sesungguhnya diri jasad itu memang terkenal dengan sifat yang amat menyintai dunia bahkan melebihi cintanya sehingga menutupi rasa kasih suci. Putik kasih hancur akibat jasad yang masih mengejar dunia walaupun dalam diam tanpa sedar.


  • Bukalah hati, bahawasanya Dia itu tidak pernah mendustai cintaNya, Dia itu tidak pernah menodai cintaNya. Lantas, jika Dia setia, bagaimana Cinta itu lenyap dalam Diri? HAMBA penyebabnya. Kitalah Sang Hamba yang sering menodai putik hubungan itu. Kerana keyakinan yang tidak utuh dalam diri (Iman goyah), sering berlaku penolakan secara diam. Lalu, ikatan yang tidak terlalu kuat menjadikan kita berpaling daripada jalanNya. Sesungguhnya, kitalah yang amat rugi kerana telah mendapat petunjuk terus daripadaNya, namun cuba menidakkannya dan menolak kebenaran. Tersesatlah kita selamanya dan tidak ubah kita sebagai bangsa kafir yang mencari Tuhan selain Allah. 


~~Puisi:: kehidupan~~


Umpama mencari benih,
Letaknya harum di dalam kasih,
Tersemai cantik cahaya memutih,
Belum tercapai terasa jerih,
Sudah dimiliki bertambah kasih.

Kasih dalam sedalam lautan,
Lautan api tanding taranya,
Mengapa hasrat tiada kesampaian,
Mungkinkah masih kurang cintanya,
Ataupun cintaku sekadar buatan.

Ku renung malam kabus berjerebu,
Asap hitam memenuhi relungku,
Terasa diri hilang sesuatu,
Apakah dia, tiada ku tahu,
Hadirnya iman terus membantu,
Mencari jawapan jauh berbatu,
Tiada ku sangka akhirnya ku bertemu.

Nisfu Syaaban telah pergi,
Segala amalanku mungkinkah diterima,
Kerana hati ini terasa mati,
Bagai tiada berbalas jasanya.

Akulah hamba buruk pekerti,
Mempunyai jiwa tetapi mati,
Bunuh sahaja diri ini,
Agar ku temu cinta hakiki.

Ilham datang bertali arus,
Namun aku hanyalah manusia,
Perit ditekak terasa haus,
Umpama menambah umur nan senja.

~~sofya hamid~~


~~Di sebalik "Ranjang Mawar" _Wings~~



Kerana dia aku menangis,
Tanggalkan sisa kewarasanku,
Rela melepaskan kemudi di tangan,
Di kala ribut datang mendera Samudera.

Kerana dia aku menangis,
Padamkan gaya dan perasaan,
Sanggup memutus pertalian diri,
Kepada dia selain ku damba.

Ku tenggelam dalam rindu,
Tidak berdasar dan bertepi,
Ku terdampar dalam sendu,
Tidak bernoktah dan berhuruf,
Ku terkorban dalam cinta,
Tak beralasan dari lembar,
Satu lagi tak terjanjikan,
Ranjang mawar yang ku mimpi.

*** 
(makna lirik)

  • Daripada sudut hakikat, ternyata penulis lagu berada dalam keadaan tak keruan akibat penangan cinta Ilahi. "Kerana Dia aku menangis..."

  • Lihat pada rangkap pertama telah jelas bahawa Sang Hamba sangat merindui kekasihnya. Dia telah 'gila' dalam menyintai Allah.

  • "Rela melepaskan kemudi di tangan, di kala ribut gelora datang mendera Samudera..." Pada ayat tersebut banyak perkara tersirat yang cuba digambarkan oleh penulis. "Kemudi" memberi makna pegangan yang dipegang oleh Sang Hamba. "Ribut bergelora" sinonim dengan ujian yang melanda secara bertali-arus menghentam Samudera. Dan Samudera itu adalah bermaksud kehidupan yang terumbang-ambing. Secara keseluruhannya, maksud untuk frasa tersebut adalah, Sang Hamba sanggup melepaskan pegangan/kenikmatan dunia dan membersihkan segala sifat haiwanyang terdapat dalam diri (kita) demi memperbaiki 'kehidupan'  dan demi Cintanya.

  • Rangkap kedua, maksud hampir menyamai rangkap pertama. Sang Hamba hanya menghambakan diri kepada Cintanya sahaja. Tiada lagi sifat haiwan yang tercela. Lalu, sempurnalah sebuah kalimah syahadah iaitu "Tiada Tuhan selain Allah" dalam ayat "Sanggup memutuskan pertalian diri kepada dia selain yang ku damba".

  • Setelah melepaskan hawa nafsu kepada dunia, barulah terasa nikmatnya fanalillah apabila telah tenggelam dalam rindu yang tiada bertepi, terdampar sendu dalam dunia yang tiada bernoktah dan berhuruf (alam Lahut)...

  • "Terkorban dalam cinta yang tak beralasan dari lembar" membawa maksud... dan matikan diri dalam cinta hakiki yang ternyata tidak memerlukan alasan 'mengapa' kerana hidup dan matinya hamba yang beriman, bertaqwa dan beramal soleh itu hanyalah untuk Allah Subhanahuwata'ala.
Wallahua'lam


~~Tak Keruan_Zamani ft Sh. Zarina~~



Tak seorang yang ambil tahu,
Tak seorang pun ambil peduli,
Sehinggalah dikau yang datang,
dan membawa bersama hatimu.

Mana mungkin ku persiakan,
Bila cinta aku ketahuan,
Debar kencang aku rasakan,
Bergetaran di dalam kalbuku.

Saratnya bebanan asmara,
Beratnya menepis gelora,
Semua relaku terima,
Andainya inilah cinta.

Ternyata dialah ku cari,
Di dalam terjaga dan mimpi,
Meskipun adakala sepi,
Tetap setia menanti.

Hanya dia yang ku dambakan,
Walaupun aku rasa gundah,
Biar putih ataupun hitam,
Asalkan hati penuh rela,
Dengannya cinta.

Tiap saat tiada tempat,
Bukan bayangan tapi nyata,
Siang malam ku rasa terang,
Ku rasa tenang...rasa damai,
Dibuai cinta.

*** 
(makna lirik)

  • Hidupnya seorang manusia itu asalnya dari tanah. Ibarat tanah liat yang dibentuk-bentuk, jika tiada roh mengisi maka tiada keistimewaannya. Namun, Allah itu Maha Bijaksana. Dalam jasad yang bertanah itu, ditiupkan roh, lalu roh itu disulami pula dengan benih-benih cinta, rindu, sayang yang disimpan di Qalbu. Terletaklah perasaan itu di tempat yang sangat terpelihara. Lalu, Qalbu itu dibalut pula dengan segumpal daging yang sangat kecil. Jika terhiris dek dosa, maka cacatlah sedikit anggota. Daging itu adalah hati. Itulah gumpalan harta yang sangat istimewa daripada Allah kepada manusia. Di situ letak segalanya.

  • Jika kita mengetahui secara dalamnya mengenai rahsia hati, sukar sekali untuk kita meletakkan perkara yang ditegah di dalamnya, kerana perkara-perkara seperti itu akan merosakkan hati dan langsung akan menjejaskan sifat-sifat indah yang terpelihara dalam Qalbu.

  • Apabila Sang Hamba telah menemui cinta hakiki, takkan ada hamba yang akan melepaskan cinta itu melainkan mereka itu orang-orang yang rugi. Apatah lagi apabila cinta itu berbalas olehNya. Lalu hiduplah hati dengan Mahabatullah.

  • Sudah lumrahnya bercinta, rasa rindu itu pasti ada. Dan ternyata rindu itu pastilah menyiksakan jiwa. Namun, dugaan seperti itu bersifat normal dan bukan sesuatu yang luar biasa. Yang berbeza adalah "Siapakah yang dirindui?"

  • Setiap manusia yang mempunyai iman mahukan Dia. Tidak kira apa pun keadaan, lena dalam jaga, sakit dalam sihat, terang dalam gelap, rindu dalam takut, sepi dalam sunyi, Sang Hamba akan tetap menanti kehadiran Sang Cinta.

  • KehadiranNya yang dinanti, kehilanganNya tidak diingini. Walaupun 'bayanganNya' ditajalli, sudah cukup mengubati hati.
Wallahua'lam




Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com