~~Makna Di Sebalik Hati Emas = M. Nasir~~



Berjalan di tanah gersang
Mentari mencengkam dada
Debu-debu di jalanan
Menjadi teman setia

Tiada lain tujuanku
Hati emas yang ku cari
Kisahnya di hujung dunia
Mengapa tak ku temui

Oh, terdengar suara halus!
Bagai dengar dan menghilang
Katanya pulanglah oh anakku
Ia tiada di sini

Kembara
Puas sudah ku mengembara
Ke mana perginya oh cahaya
Mencari hati emas bukannya mudah
Di masa kini adakah kau peduli

Mungkinkah dikau miliki
Hati emas murni suci
Inginku menjadi sahabatmu
Hingga akhir hayat nanti

Kembara
Puas sudah ku mengembara
Ke mana perginya oh cahaya
Mencari hati emas bukannya mudah
Mungkin selamanya takkan ku temui

*** 

(Makna Lirik)

Permulaan untuk mencari hati emas dan mendidik hati  sangatlah sukar. Jalan ini bukanlah suatu jalan yang ditaburi emas dan permata. Jalan ini dipenuhi dengan duri, ranjau yang dalam, dipenuhi batuan yang tajam menikam dan menyiksakan. Namun, keadaan itulah yang perlu ditempuhi demi mensucikan diri yang terpalit dengan debu dan kotoran dosa.

Bait-bait yang terdapat dalam lagu Hati Emas ini  banyak bercerita tentang pengembaraan hamba yang sedang mengembara semata-mata untuk mencari hati emas yang letaknya di hujung dunia. "Hati Emas" itulah yang membawa maksud hati yang melepasi tahapan iman tertentu. Secara amnya, iman mempunyai beberapa tahap tertentu bergantung kepada amalan dan keikhlasan seseorang hamba. "Hujung Dunia" pula membawa makna 'daerah pedalaman yang paling dalam... dalam sesebuah kerajaan hati. Hati juga mempunyai beberapa daerah tersendiri.

Disebabkan hati mempunyai beberapa daerah, di mana setiap daerah hati itu mempunyai amalan tertentu untuk mengisi ruangnya agar tidak kosong. Sehinggalah di daerah yang paling dalam... daerah yang paling jauh...daerah yang paling sunyi dan sepi...mempunyai amalan untuk mengisinya dan tidak diketahui pula oleh sesiapapun walaupun oleh malaikat Muqarrabin. Malaikat yang paling hampir dan paling dekat dengan manusia. Namun, dia juga tidak mengetahui amalan Rahsia yang dilakukan oleh hamba tersebut. 

...lalu Allah bertanya kepada Malaikat Muqarrabin, "Apakah amalan hambaKu ini?" Berkatalah Malaikat Muqarrabin bahawa Si Fulan telah melakukan itu dan ini... Bertanya lagi Allah kepada Malaikat Muqarrabin..."Apakah masih ada amalan lain yang telah dilakukan oleh hambaKu ini ?" Lalu Malaikat Muqarrabin menjawab "Tiada..." Berkata Sang Pencipta..."Masih ada lagi perkara dan amalan hambaKu yang tidak engkau ketahui. Sesungguhnya hambaKu ini sentiasa mengingatiKu dalam lena dan dalam jaga..."

Sesungguhnya Allah itu tidaklah memandang pada nama, pada pangkat, pada harta. Dan sesungguhnya Rumah Allah itu bukan sahaja di Makkah Mukarramah, bahkan Rumah Allah itu ada di dalam diri manusia. Sebagaimana syair Hamzah Fansuri iaitu seorang wali yang terpenggal, beliau menggambarkan di dalam sebuah syairnya bahawa beliau pernah ke Makkah untuk mencari Tuhan, tetapi tidak ditemui. Akhirnya beliau berjumpa Tuhannya di dalam rumahnya sendiri. 'Rumah' yang dimaksudkan oleh Hamzah Fansuri adalah hati. Hal ini  disebabkan Hati orang yang beriman itu adalah Rumah Allah. Begitulah maksud yang cuba dirungkaikan oleh penulis lagu Hati Emas dalam bait ketiga secara keseluruhannya. Usahlah mencari Allah di mana-mana, kerana Allah itu ada di dalam diri.. (Rujuk guru mursyid)

...Aku ini bersifat terpendam dan tersembunyi, lalu Aku menciptakan makhluk...(Hadis Qudsi)

Bagaimana pula mahu mendidik hati agar menjadi Hati Emas? Dalam suatu peristiwa, Ali bin Abi Thalib bertanya kepada Rasulullah...

...Ya Rasulullah, manakah jalan yang sedekat-dekatnya mencapai Tuhan? Baginda menjawab, "Zikir kepada Allah"

Ungkapan Rasulullah "Zikir kepada Allah" itu membawa maksud bahawa dengan mengingati Allah secara tidak langsung akan mendidik hati dalam hal peneguhan dan pengukuhan iman sehingga ia tetap dalam mengingati Allah dan menyintai Allah tanpa berganjak walau sedikitpun.

Wallahualam.

*Barang siapa yang melihat kepada sesuatu dan tidak dilihatnya Allah di dalam sesuatu itu, maka penglihatannya itu batil dan sia-sia...

(Lihatlah Allah walau dalam lagu...)

~~Sofya Hamid~~

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com