~~Di Sebalik Lagu "Jika Kau Rasa Getarnya"::SLAM~~




Janganlah hanya mengukir janji
Sedangkan dikau masih mencari
Adakah benar kata-kata
Bukan ungkapan sementara...

Kaulah pancaran yang daku rasa
Bagaikan obor yang menyinar
Jika terpadam tiba-tiba
Sunyilah insan alam gelita...

Jika kau selam hati ini
Pastinya engkau 'kan mengerti
Betapa sucinya kasihku/cintaku
Jangan diragu...

Jika kau rasa getarnya
Debaran kasih cinta yang meronta
Nilai kasihku padamu
Cukup berharga

Bukan simpati yang aku pinta
Kebenaranmu memutus kata
Agar dapatku abadikan
Untuk pedoman meniti cinta...

***Makna lirik***

Seperti biasa, kelaziman lagu di dalam blog Mencari Diri akan menghuraikan makna lagu atas paksi cinta Allah. Sungguhpun telah jelas bahawa penulis lagu ini berkemungkinan besar menyampaikan mesej dalam lagu kepada seseorang (wanita) yang dicintainya.

Dalam setiap perhubungan, pastilah ada pasangannya. Yang Menyintai dan Yang Dicintai, Yang Mencari dan Yang Dicari, Yang Mengasihi dan yang Dikasihi, Yang Merindui dan Yang Dirindui.

Meneliti maksud dalam rangkap pertama lagu, manusia; kita ini terkadang sering ditipu oleh diri sendiri terutama diri nafsu. Terasa bagaikan sindiran pedas oleh Allah SWT menerusi bait ini apabila aliran ilham kepada penulis secara langsung menegur hambaNya yang melaungkan rasa cinta dan kasih akan DiriNya tetapi tidak mengetahui maksud sebenar ungkapan mereka. Cinta, rindu dan kasih kepada Allah SWT bukan bersifat sementara sementelah mengenali Siapa itu Allah SWT yang sebenar-benarnya. Justeru, tidak usah menyatakan cinta pada khalayak jika diri tidak tahu apa itu cinta. Itu hanyalah sebuah ungkapan dusta memandangkan hati dipenuhi dunia. Kerana orang yang bercinta hanya diam tanpa sengketa, tidak diketahui pula kisah mereka di dunia luar, hanya sendirian 'tiada' menemani cahaya gelita.

Di rangkap kedua, sedarlah kita bahawa Allah SWT lah segala-galanya. Dia;Tuhan Pemberi Cahaya pada yang berkehendak olehNya. Dia; Penguasa Alam Semesta mampu membolak-balikkan hati dan iman setiap hambaNya.., berdosa atau beriman tidak dikira. Bagi golongan hakikat, ternyata begitu mengharapkan agar ditajallikan DzatNya untuk menerangi alam sehingga hening segalanya. Jika tiada pentajallian, merinduilah insan yang menghakikat. Betapa sakit kerinduan itu benar-benar suatu penderaan yang sungguh menyiksakan.

Sedikit pembongkaran rahsia oleh Pemilik Diri (Allah SWT) kepada hamba yang masih mencari 'di mana Allah SWT' telah diceritakan dalam rangkap ketiga. Ianya adalah HATI. Hati adalah raja bagi sebuah kerajaan. Di situlah terbentang segala macam rahsia Allah SWT. Bukalah kunci hati (menelusuri sejarah Nabi Daud A.S dan Tabut Sakinahnya). Di dalamnya penuh rahsia tidak terperi. Seluruh alam semesta yang nyata ini tidak tertanding nilai serinya. Terbuka pintu hati, bertemulah cinta sejati (lebih faham andai berguru).

Pelengkap rasa cinta dalam rangkap keempat. Cinta Azali telah berkurun lamanya dihadiahi di dalam hati bahkan ia telah lama terpenjara di situ. Dengarlah rintihannya agar dilepasbebaskan. Bercintalah dalam kenikmatan yang Maha Kuasa setelah memilikinya. Janganlah pula kembali dikurung atau dibiarkan bebas tanpa terpeduli lagi. Kerana cinta itu, kasih itu, sesuatu yang sangat berharga. Bagaimana mungkin tergamak melepaskan sekiranya itulah ketenangan hakiki yang dicari.

Manusia diciptakan adalah untuk mengenal 'Siapa itu Allah SWT'. Manusia diciptakan adalah untuk  mencari 'Di mana Allah SWT yang diketahui bersifat terpendam dan tersembunyi. Sungguhpun tersembunyi, Allah seringkali menghantar 'bayang-bayangNya' dalam setiap perbuatan manusia dan makhluk ciptaanNya agar dapat dipelajari oleh hambaNya. Inilah yang dikatakan 'Pedoman Meniti Cinta'.

Wallahualam

No comments:

Post a Comment

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com