Di Sebalik Lirik "Bukan Mudah" (Malique ft Nukilan)


Hampir lelah hampir jatuh diri ini,
bila separuh semangat tiada di sisi,
tak mengapa ku tempuhi dugaan,
bukan mudah berjalan berseorangan.

Tubuh yang mengah lesu...
berkais dan melombong,
pulang menapak laju dalam langkah yang melonjong,
yang menegur khabarku...
berpaling bukan sombong,
titik kukini satu,
senyumkan yang dah melolong.

Kadang terkena pedang bermata dua...kurebah,
sedang leka pandang permata disengat lebah,
biarpun lelah, lara takkan gundah dalam lemah,
kusedar bukan mudah diludah beransur kebah.

Pecah jari-jemari tekan tubi pensel kayu,
resah harianku telan ubi berkipas bayu,
bangkit hadap mentari biar terik tak kulayu.

Berlari kerah lagi selagi kudirgahayu,
tiada yang ringan dalam hal yang dititikberatkan,
tekanan perjalanan jadi pengalaman beratkan,
bermula dari angan bergiat sampai ke tua,
masih terngiang suara ibu membisik petua.

Hampir lelah hampir jatuh diri ini,
bila separuh semangat tiada di sisi,
tak mengapa kutempuh dugaan,
bukan mudah berjalan berseorangan.

Berjaya melangkah pagar kawat berduri,
percaya, adakah hidup ini berjuri?
Sentiasa dihakim dihukum darah sendiri,
berjasa pun dihakim, dihukum jasa dicuri.

Bersuara lantang kutiada cara dipertengah,
berdiri tegak aku nak diendah hingga megah,
berdiam diri pula dibakar hati disergah,
menyiram benih cita nak bercambah bukan mudah.

Ke langit tidak sampai ke bumi tidak terpijak,
sesak nafas tergapai, maka tangkis dengan bijak,
mana langit kujunjung, di situ bumi kupijak,
usaha yang kan usung pergerakan harus bijak.

Bersedia dizahirmahirkan dari dirantai,
usah endah yang diraptai gusar hilang nak bersantai,
rujuklah awal akhir sebelum menempuh badai,
demi yang menanti, jangan sekali maruah digadai.

Hampir lelah hampir jatuh diri ini, 
bila separuh semangat tiada di sisi.
tak mengapa kutempuhi dugaan,
bukan mudah berjalan berseorangan,
dengarkan, fikirkan, zikirkan, dikirkan.

Serapah pejuang ulang hingga mahkota dijulang,
dari putih mata biar putus tunjang, 
putih tulang walaupun terbuang,
dampar cerun curam suram,
kalau hati bercahaya pastu temui jalan pulang.

Tukar orientasi, modifikasi modus operandi,
digantikan cogan, gantikan slogan,
hidup lathaif nan mati,
diasahkan taji kibarkan panji-panji,
ingati janji-janji,
serikandi masih menanti-nanti di menara candi.

Ya, menara candi,
masih menantikanmu di menara candi,

Hampir lelah hampir jatuh diri ini,
bila separuh semangat tiada di sisi,
tak mengapa kutempuhi dugaan, 
bukan mudah berjalan berseorangan.

Damba-damba putih atau damba emas jati,
hanya satu sakti tikam berhati-hati,
patah-patah yang bercambah menambah risiko,
muncul kemenangan bila terhapusnya ego.

***** 

(Makna Lirik)

Bukan mudah mentahafus karya berat,
walau ia dilingkung bahasa,
bukan mudah memaut erat,
walau ia berdiam di jiwa.

Di kiri berduri...kanan jua berduri,
di tengah jalan dia berseorangan,
hanya ajaran sandaran pedoman,
biar perit ujian dilawan,
biar berseorangan,
matlamatnya kesampaian.

Mencari cinta begitu seksa,
tersendam diri berkali-kali,
bangkit berdiri,
digagah lagi,
biar sesaat jatuh lagi,
air mata kering tak basah pipi,
sabit semangat memacu tinggi.

Duri nan bisa dipijak,
kaki berdarah,
dosa melerai,
diri lemah.

Songsongan angin menolak ke belakang,
pertengahan tak sampai,
semula bermula.

Nafas tercarik diri lemah,
jemari halus hilang bunga,
kaki mulus penuh darah,
mencari cinta begitu payah,
walau ia dijiwa tak goyah.

Menempuh jalan harus berseorangan,
agar mengenal erti kebergantungan,
bukan manusia tetapi Tuhan,
tetap pendirian dalam ujian,
hingga sampai penamatnya garisan.

Ujian diredah bersama Syahadah,
dua puluh sifat termaktub sudah.

Ujian duniawi mula dihakimi,
biar pesalah diri sendiri,
yang benar, yang salah,
yang lurus, yang bengkok,
yang gondol, yang gondok,
akan dijuri,
walau hakim diri sendiri.

Benih tertanam harus disiram,
dengan syair tak tentu malam.

Berdiam diri harus berisi,
bukan melangut mencaci-maki,
kerana cinta harus dicari,
dalam nurani ia tersembunyi.

Dari hati Dia bersuara,
peduli cintaNya hidup bahagia,
kerana cinta tidak bercambah,
kira diri malas bersusah.

 Ke langit tidak, di bumi tidak,
hidup tidak, mati tidak,
rindu yang batin, mata tak nampak.

Bagai bayangan bersama mentarinya,
hanya ilmu sandaran bijaksana,
sedang hati milik hanya.

Telah kenal siapa tuhan,
telah kenal siapa sendiri,
tiba masa disesatkan duniawi,
merantai menghukum tak usah peduli,
kerana itu aturan Ilahi,
tidaklah setanding tertusuk duri,
berbanding fitnah duafa duniawi.

Syair malam berlagu terus,
sebagai penguat semangat nan hilang,
biar maut di dalam gelanggang,
sesekali tidak niat tersimpang.

Belum bertemu telah bahagia,
syair malam berlagu perlahan,
rentak rancak kian sepi,
hanya deru nafas berseli,
impian kini fana Ilahi,
hati berdegup menanti tajalli,
kerana serikandi menanti di candi.

Ego terhapus, petanda mati,
tiada duniawi, tiada ukhrawi,
hati berdegup hidup lagi,
hari esok masih menanti,
semoga bertemu serikandi abadi.

~~Pejamkan Mata (Malique ft Dayang)~~


Versa 1

(Malique)
Sebermula maka dipaksa diam
Dengar, patuh dan terpaku tunduk
Selesakan di bawah, sujudnya rujuk telunjuk
Tenagamu kencanaku katanya fitrah gawai
Kedanamu ketawaku dekahnya hingga sawai
Berontak, dongak, lembayung ku ternampakkan
Si Hering menyorak, ngoyak 
Awan canggung dan berantakan
Dah diragut total, cinta resiprokal
Bila dipersoal kekal equivokal
Katanya tanggal tali leher itu
Cukuplah seharian digembala.
Lupuskan logaritma yang menghantui kepala
Dalam tafakur, akur, sadur mimpi yang dikabur
Karektor kartun kantor dan karikatur diktator
Dikabur takbur shabab yang bermusim
Tak punya tempat di benakku jiwaku
Jemaah mereka bermukim.
Al-Malik, Al-Kudus, As-Salam, Al-Mukmin
Ubat gementar senja suara ngekor roh ke kasur
Masyghur, runsing...

Versa 2

(Dayang)
Pejamkan mata
Mata yang lesu itu
Dan mimpikan yang indah
Mimpikan aku
Biarkan gelita
Menghapus derita
Pejamkanlah matamu

Versa 3

(Malique)
Aku terdengar suara itu lagi
Dari tenggara namaku diseru
Disuruh hembusnya lilin di setiap empat penjuru
Katanya mata penamu tak mencoret solusi
Kata magismu takkan mampu cetus revolusi
Manusia 'kan sentiasa menyakiti
Yang tak membunuh buatmu kebal sehari lagi
Masa untuk koktel lorazepam, ambien, risperdal
Semoga afdalmu bertemu di astral
Selamat tiba kita ke republik cinta
Lagenda dimensi ruang dan waktu tak bersempadan
Halaman terbentang suci, dicuci noda dan nista
Terhapus dogma dan stigma, kepincangan dan kehilangan
Arasy yang tiada penghuni mengugut buli
Tak perlukan runut bunyi, sembunyi, bersembunyi sakan
Di hati dan pituitari menarinya tanpa bumi
Menyanyinya tanpa bunyi, 
Keghaibannya kita raikan.

(Dayang)
-Lirik yang sama-

Versa 4

(Malique)
Hakikatnya nirvana di sana
Di sini masih lagi samsara
Cuba tak diperhambanya dunia
Sukar tapi aku cuba (2x) ya

Versa 5

(Dayang)
Kembalikan senyuman serimu yang dulu
Kembalikan ke dakapanku perlindunganmu
Walaupun gerhananya seakan tak berakhir
Selagiku di sisi
Tak usah khuatir.

*****
MAKNA LIRIK

*****

Lima versa ilham menerpa,
jalan lurus sejalar cahaya,
mencari cinta mencipta karya,
bukan kepada makhluk sesama.

Bercerita tentang alam rahsia,
digarap cantik menyembunyi kata,
biar pendengar merungkai idea,
tentang apa karya tercipta.

Mencari tuhan tiada syarat,
dalam lagu terukir keramat,
isi berat cerita padat,
makin dirungkai makin tenat.

Versa 1

Versa pertama tentang dunia,
bukan dunia di penglihatan mata,
Cukup digelar alam rasa,
kenal tuhan antara nama.

Di kala ini masih berteleku,
menunduk kosong seperti tugu,
itu hanya di mata kamu,
sedang pelaku sudah tahu.

Antara dunia dan juga rasa,
masih bertingkah melawan hawa,
terkadang tersasar dunia juara,
sesekali hanya menjadi kedua.

Dalam mencari jangan berhenti,
kali pertama pasti menanti,
tidak bermaksud berterusan begini,
asal asa tidak mati.

Pertama kali cinta berbalas,
masih kabur rupa paras,
jangan riak dengan lekas,
kelak nanti diri culas.

Peringkat ini tidak berbahas,
segalanya kelam belum jelas,
simpan rahsia di dalam gelas,
elak pecah mendatang nahas.

Dunia masih di dalam hati,
tinggal sebentar malam ini,
ayuh kejar cinta abadi,
bayangan kabur makin berseri.

Kikis segala sifat mazmumah,
riak, takabbur, bangga dan sum'ah,
pujuk nafsu agar berubah,
semoga tidak berlawan arah.

Versa 2

Hapuskan segala deria,
kembalikan kepada yang punya,
tutup mata, minda tak lena,
hati tenang, jiwa tak siksa.

Gelap pekat tak terbias cahaya,
namun bahagia mewarnai gelita,
hilang derita, hilang sengsara,
sesungguhnya perjalanan baru bermula.

Versa 3,4 & 5

Empat rumah di dalam dada,
terangkan cahaya agar tak gelita,
sebelah tenggara rumah utama,
bedilan berlagu lebih di sana.

Versa ketiga hakikat isinya,
hilang dunia, merekah syariatnya,
tiada dosa, tiada pahala,
tiada syurga mahupun neraka.

Astral diibarat rumah ketujuh,
nyawa terakhir itu tempatnya,
telah tenggelam ribut dan guruh,
hanya menyaksi indah nan 'tiada'.

Alam Lahut tiada sempadan,
tidak terjangkau akal fikiran,
alam gratisan berbekal iman,
bersama takwa bertunjang kecekalan.

Hening sunyi tanpa suara,
berdiam diri tanpa mantera,
segala deria habis terlena,
tersingkir jauh dari dunia.

Fana hamba hanya seketika,
harus kembali ke alam sedar,
tanggungjawab duniawi jangan terlupa,
ukhrawi abadi tempat bersandar.

Hidup di dunia sebagai tumpangan,
mati kelak tak jadi gelandangan,
jika ilmu disusuli amalan,
bukan sekadar mencoret pedoman.

Setiap kata ada maksudnya,
buruk baik tafsirannya kita,
kerap mencari akan berjumpa,
siapa malas, rugi hidupnya.

Waktu melangkau sempadan masa,
jangan leka dengan dunia,
cari sedikit ilmu agama,
pembimbing kita di masa tua.

~~Di Sebalik "Lagu Dari Aku- XPDC"~~


Masih aku dengar,
bisikan suara itu,
membisik dalam hatiku,
kita dibuai mimpi,
kita dibuai mimpi.

Ku nyatakan rindu,
padamu,
mungkin bagimu tak seluas,
lautan biru.

Ku nyanyikan lagu,
untukmu,
mungkin bagimu tak seindah,
melodi syahdu
(langit yang biru).

Merah biru hijau kuning,
adalah penantian,
hitam putih dan kelabu,
adalah kehidupan.

Sedang dalam perjalanan,
pastikan dapat kuturutkan,
langkahku ini.

***

(Makna Lirik)

Lagu dari aku hanya untukmu,
ilham datang menderu-deru,
membisik cerita satu persatu,
makna puitis di dalam lagu.

Kepada dunia impian kosong,
jika menongkat dengan mimpi,
jiwa menangis tanda lohong,
lasian hati menagih isi.

Nyanyianku tidak sehebat mereka,
masih merangkak mencari haluan,
mereka sudah berlari ke sana,
sedang aku merangkak perlahan.

Merah masih bergelumang dosa,
masih sibuk mengejar pahala,
impian ke Syurga tujuan utama,
diri jasmani syariat amalnya.

Biru masih bermain hukum,
takut berdosa kerana neraka,
mengenal Tuhan sekadar pencipta,
diri rohani tarikat amalnya.

Hijau sudah mencarik syariat,
dosa pahala ditolak tepi,
impian bersama semakin erat,
memahami sifat membawa mati.

Kuning bersanding di atas pelaminan,
tenggelam sifat hadir zat,
jalan penghujung mengenal Tuhan,
akhir terpa hilang rempat.

Hitam, putih juga kelabu,
warna jati seorang perindu,
dunia sebagai peperangan nafsu,
tewas iman menjadi hantu.

Formasi cantik di dalam lagu,
satu persatu jalan dilalu,
sebagai hiburan sudah tentu,
lebih baik sebagai ilmu.

~~Di Sebalik Lagu Lingsir Wengi~~




LINGSIR WENGI (ASLI)

Lingsir wengi,
Lingsir wengi,
Sepi durung biso nendro,
Kagodho miring wewayang,
Kang ngerichu ati,
Kawitane,
Mung sembrono njur kulino,
Ra ngiro yen bakal nuwuhke tresno,
Nanging duh tibane aku dewe kang nemahi,
Nandang bronta,
Kadung lora,
Sambat-sambat sopo,
Reni wengi,
Sing tak puji ajo lali,
Janjine mugo biso tak ugemi.

(Mohon maaf kira salah ejaan)

***
Menjelang tengah malam,
Saat menjelang tengah malam,
sepi tidak bisa tidur,
Tergoda bayanganmu di dalam hatiku,
Permulaannya hanya bercanda kemudian terjadi,
Tidak mengira akan jadi cinta,
Kalau sudah saatnya akan terjadi kepada diriku,
Menderita sakit cinta, 
Aku harus mengeluh kepada siapa?
Siang dan malam,
Yang ku cinta jangan lupakan aku,
Janjinya ku harap tidak diingkari.

***
Maksud lirik

Pertemuan rahsia terjadi,
antara hati, jiwa dan rasa,
pengembaraan pertama berangkai lagi,
hingga membawa seribu makna.

Penantian membawa erti,
hadir Dia menyatakan azali,
perpisahan membawa erti,
akankah Kekasih menjelma lagi.

Di tengah malam tiada bunyi,
desir angin melawan sunyi,
percintaan pertama tadi,
kini berangkai bertemu lagi.

Kekasih tidak lupa janji,
hadir tajalli di hadapan abdi,
memberi nafas berbau wangi,
hingga abdi mahu mati.

Cinta agung berpisah tiada,
bukan kemanisan jiwa semata,
datang ujian tiada kata,
menanti bukti mekarkah cinta.

Kian lama hati gelisah,
merajukkah cinta berilham padah,
diamnya Dia membawa resah,
tetapi abdi berhati gagah,
mengharap janji tidak patah.

***
Sejarah Lagu

Lagu Lingsir Wengi telah dicipta oleh Sunan Kalijaga iaitu salah seorang daripada Wali Songo yang terkenal di Pulau Jawa. Lagu ini merupakan salah satu cara dia menyebarkan dakwahnya kepada masyarakat di mana ketika itu rata-ratanya beragama Hindu. Lagu ini mengandungi doa agar didekatkan diri hamba dengan Sang Penciptanya. Ia sering didendangkan ketika usai solat malam dalam irama yang lembut, sayu, beralun dan penuh pengharapan.

Walau bagaimanapun, lagu ini telah diubah liriknya sebagaimana yang telah digunakan dalam sebuah filem seram Indonesia dan berfungsi untuk menyeru dan memanggil makhluk ghaib.

Copyright© All Rights Reserved sofya-mencaridiri.blogspot.com